
PETALING JAYA – Kajian undang-undang akan dilaksanakan bagi merangka dasar, hala tuju tadbir urus serta draf Rang Undang-Undang Khairat untuk mengawal selia entiti amanah dan pendanaan awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan dana yang diamanahkan diurus secara telus dan bertanggungjawab.
“Mesyuarat bersetuju supaya kajian undang-undang dilaksanakan bagi merangka dasar, hala tuju tadbir urus serta draf Rang Undang-Undang Khairat untuk mengawal selia entiti amanah dan pendanaan awam.
“Langkah ini penting bagi memastikan dana yang diamanahkan diurus secara telus dan bertanggungjawab,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang memberi tumpuan kepada usaha membanteras ketirisan wang awam dan salah guna kuasa, khususnya melibatkan Badan Berkanun Persekutuan.
“Saya tegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang mesti disertai pembudayaan integriti dan tatakelola baik secara berterusan dalam sektor awam, swasta serta masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Pembudayaan Nilai Perkhidmatan Awam.
Pada masa sama katanya, dasar bagi Rang Undang-Undang Badan Berkanun dan Entiti Kawalan (Tadbir Urus Kewangan) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tahun ini bagi memperkukuh disiplin serta kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan.
Mesyuarat juga bersetuju dengan tujuh resolusi yang dibentangkan semasa Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Kelima pada 25 September lalu.
“Kerajaan Madani akan terus memperteguh integriti perkhidmatan awam dan menutup ruang ketirisan serta salah guna kuasa.
“Setiap ringgit wang awam adalah amanah rakyat yang mesti dijaga, dan setiap kuasa yang diberikan mesti digunakan untuk menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan kaji RUU Khairat kawal selia entiti amanah, pendanaan awam appeared first on Kosmo Online.


