
PETALING JAYA: Dana sumbangan orang ramai kepada organisasi kebajikan bakal dipantau apabila kerajaan bersetuju untuk melaksanakan kajian bagi merangka dasar, hala tuju tadbir urus serta draf Rang Undang-Undang (RUU) Khairat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan setiap dana yang diamanahkan diuruskan secara telus, berintegriti dan penuh bertanggungjawab.
Katanya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang memberi tumpuan kepada usaha membanteras ketirisan wang awam dan salah guna kuasa, khususnya melibatkan Badan Berkanun Persekutuan.
“Saya tegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang mesti disertai pembudayaan integriti dan tatakelola baik secara berterusan dalam sektor awam, swasta serta masyarakat.
“Justeru, mesyuarat bersetuju supaya kajian undang-undang dilaksanakan bagi merangka dasar, hala tuju tadbir urus serta draf Rang Undang-Undang Khairat untuk mengawal selia entiti amanah dan pendanaan awam. Langkah ini penting bagi memastikan dana yang diamanahkan diurus secara telus dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sedang melaksanakan kajian kewajaran untuk menggubal Akta Khairat dan penubuhan Suruhanjaya Khairat yang akan membantu membendung isu penyalahgunaan dana sumbangan individu atau syarikat kepada organisasi kebajikan.
Mengulas lanjut, Anwar memberitahu mesyuarat tersebut turut bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Pembudayaan Nilai Perkhidmatan Awam.
Pada masa sama, katanya dasar bagi Rang Undang-Undang Badan Berkanun dan Entiti Kawalan (Tadbir Urus Kewangan) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tahun ini bagi memperkukuh disiplin serta kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan.
“Mesyuarat juga bersetuju dengan tujuh resolusi yang dibentangkan semasa Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Kelima pada 25 September lalu.
“Kerajaan akan terus memperteguh integriti perkhidmatan awam dan menutup ruang ketirisan serta salah guna kuasa. Setiap ringgit wang awam adalah amanah rakyat yang mesti dijaga, dan setiap kuasa yang diberikan mesti digunakan untuk menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN
The post Kerajaan kaji RUU Khairat pantau dana sumbangan appeared first on Utusan Malaysia.






