Kerajaan akan meneliti semula jumlah pengguna media sosial di Malaysia yang menjadi penentu keperluan lesen. Seperti dinyatakan sebelum ini, mana-mana pengendali platform dengan lebih 8 juta pengguna secara automatik diletakkan di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP (C)].

Namun begitu, jumlah tersebut dilaporkan akan disemak dan dikaji semula bagi menentukan had pengguna yang wajar meletakkan sesebuah platform sebagai pemegang lesen. Tindakan ini diambil susulan isu melibatkan kecerdasan buatan AI Grok yang menjana kandungan berunsur lucah membabitkan wanita dan kanak-kanak, sekali gus menyalahi undang-undang.

Platform media sosial popular di Malaysia termasuk TikTok dan Facebook, manakala X (Twitter) dilaporkan tidak mencapai ambang 8 juta pengguna. Walau bagaimanapun, berikutan isu yang dikaitkan dengan Grok, pihak berwajib melihat ada kewajaran untuk menilai semula keputusan jumlah pengguna di Malaysia.

Dalam masa yang sama, jumlah pengguna mungkin akan diselaraskan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dipertanggungjawabkan untuk mengkaji perkara ini termasuk menetapkan had yang sesuai serta tindakan yang perlu diambil.
Sebagai rujukan, SKMM sebelum ini telah mengeluarkan arahan sekatan sementara terhadap akses kepada AI Grok bagi pengguna Malaysia. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, turut memaklumkan bahawa akan ada pertemuan empat mata bersama pihak X dalam masa terdekat.


