
PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM15 juta sebulan bagi memastikan harga minyak masak botol kekal pada paras harga siling yang ditetapkan, selain menjamin bekalan mencukupi di pasaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak (MKHMM) yang diluluskan Jemaah Menteri pada 6 November lalu.
Menurutnya, mekanisme tersebut membolehkan kerajaan mengekalkan harga siling minyak masak sawit tulen kemasan botol pada RM6.90 bagi satu kilogram (kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg).
“Langkah ini melibatkan implikasi kewangan dianggarkan RM15 juta sebulan dalam bentuk insentif khas bagi memastikan pembekalan minyak masak botol mematuhi harga siling ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, keputusan itu dibuat susulan peningkatan harga minyak sawit mentah (CPO) dunia sejak Jun 2025 yang memberi tekanan kos kepada industri pengilangan minyak masak.
Katanya, peningkatan kos tersebut menyebabkan sebahagian syarikat menghentikan pengeluaran kerana sukar mengekalkan harga jualan mengikut harga siling ditetapkan.
“Berdasarkan purata harga CPO dunia pada Oktober lalu sebanyak RM4,400 satu tan, harga minyak masak botol 5kg dianggarkan meningkat kepada RM34 sekiranya langkah intervensi tidak dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan MKHMM bertujuan mengelakkan gangguan bekalan dan kenaikan harga minyak masak botol yang boleh membebankan pengguna.
Dalam perkembangan lain, Armizan berkata, Kementerian Sumber Manusia sedang memproses permohonan penggajian pekerja asing bagi subsektor restoran berdasarkan siling kuota 15,000 pekerja yang diumumkan pada 5 Ogos lalu.
Katanya, permohonan itu tertakluk kepada syarat dan kriteria kelayakan ditetapkan susulan keputusan kerajaan mempercepatkan pertimbangan bagi keperluan mendesak subsektor berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan kekal komited mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing secara berperingkat selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“Sasaran kerajaan adalah untuk mengurangkan peratusan pekerja asing kepada 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara menjelang 2030,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkepentingan termasuk Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia mengemukakan cadangan berdasarkan data dan kajian menyeluruh bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Katanya, kebergantungan berterusan terhadap pekerja asing boleh menjejaskan struktur gaji dan produktiviti negara, sekali gus menyukarkan usaha meningkatkan pendapatan rakyat. – UTUSAN
The post Kerajaan kekal harga siling minyak masak botol appeared first on Utusan Malaysia.






