
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memantau perkembangan geopolitik global bagi memastikan rantaian bekalan negara kekal stabil, sekali gus mengelakkan gangguan bekalan barangan keperluan kepada rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan mengambil perhatian serius terhadap risiko ketidaktentuan geopolitik yang boleh memberi kesan kepada bekalan.
Katanya, ia termasuk tindakan beberapa negara yang menasihatkan rakyat masing-masing supaya membuat simpanan stok.
“Isu berkenaan mula mendapat perhatian susulan konflik di Asia Barat, selain beberapa lagi konflik geopolitik yang berlaku di peringkat global.
“Bagaimanapun, menerusi pendekatan penyelarasan antara pelbagai pihak di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), kerajaan berjaya memastikan rantaian bekalan negara tidak mengalami gangguan setakat ini.
“Kita melihat isu ini bukan perkara terpencil dan kita perlu sentiasa bersiap siaga. Namun, pada masa sama, kita berharap rakyat tidak panik.
“Kerajaan akan terus berusaha, sebagaimana komitmen tinggi kita ketika berdepan konflik geopolitik, untuk memastikan rantaian bekalan tidak mengalami gangguan serius,” katanya selepas Pelancaran Sparkling Prebiotic Tea Soda Tealive di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kecenderungan sesetengah negara meningkatkan simpanan stok sebagai langkah menghadapi ketidaktentuan geopolitik.
Armizan berkata, keperluan sesebuah negara untuk membuat persediaan bekalan turut bergantung kepada keadaan dan cabaran yang dihadapi, termasuk faktor iklim serta cuaca ekstrem seperti musim sejuk dan taufan.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan akan terus menggunakan mekanisme penyelarasan sedia ada bagi memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi menjelang musim perayaan.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menginstitusikan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDN.
“Jawatankuasa berkenaan bukan sahaja bertindak menangani isu bekalan apabila berlaku gangguan, malah memberi tumpuan kepada usaha memastikan keterjaminan bekalan sepanjang masa.
“Mesyuarat jawatankuasa itu diadakan setiap dua bulan sekali. Kita akan mengaktifkan semua platform yang ada untuk memastikan rakyat tidak menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan,” katanya.-UTUSAN
The post Kerajaan pantau risiko gangguan bekalan susulan ketidaktentuan geopolitik appeared first on Utusan Malaysia.






