KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengarahkan semua kompleks beli-belah dan pasar raya di negeri ini menutup operasi sepenuhnya pada satu Syawal bagi memberi ruang kepada pekerja menikmati sambutan Aidilfitri bersama keluarga.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, arahan terbabit juga berkuat kuasa bagi sambutan hari pertama Aidiladha.
"Bagaimanapun premis makanan segera serta kedai serbaneka pula hanya dibenarkan beroperasi selepas jam 1 tengah hari pada hari pertama Aidilfitri.
"Keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Exco selepas mengambil kira kebajikan pekerja selaras dengan negeri ini yang berlandaskan membangun bersama Islam," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Menurut beliau, sebelum ini kompleks membeli-belah dan pasar raya hanya diarahkan menutup operasi separuh hari pada 1 Syawal.
Namun ujarnya, berdasarkan rayuan dan pandangan daripada persatuan serta pekerja pasar raya, kerajaan negeri bersetuju memberikan cuti penuh pada hari pertama Aidilfitri.
"Jika sebelum ini tutup separuh hari, pekerja pasar raya seolah-olah tidak dapat menikmati suasana beraya sepenuhnya bersama keluarga.
"Langkah tersebut juga selari dengan usaha kerajaan negeri menghargai Aidilfitri sebagai hari kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa," katanya.
Hilmi memberitahu, kerajaan negeri juga bersedia mempertimbangkan permohonan pasar raya atau kompleks beli-belah yang ingin melanjutkan waktu operasi pada malam menjelang Aidilfitri.
Tambahnya, jika ada permohonan, pihaknya akan mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu operasi sehingga jam 12 tengah malam bagi memberi ruang kepada orang ramai membuat persiapan.
"Lebih-lebih lagi jika satu Syawal jatuh pada Jumaat. Bagi perniagaan bazar Aidilfitri juga diberi kelonggaran untuk berniaga sehingga jam 12 tengah.
"Jika barangan jualan belum habis dijual mereka dipertimbangkan melanjutkan waktu operasi namun perlu menjaga kebersihahan," katanya.




