Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini tular di media sosial hantaran memaklumkan kumpulan penyanyi Indonesia, Wali Band akan mengadakan konsert di Kelantan pada tahun hadapan.
Menerusi hantaran tersebut konsert itu akan diadakan pada 22 Januari 2027 di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, manakala tiket pula dijual serendah RM98 hingga RM928 dengan enam kategori.
View on Threads
Kerajaan Kelantan sahkan penganjur belum dapat kelulusan
Terbaharu Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah mengesahkan penganjur belum lagi mendapat sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa negeri setakat 26 Oktober lalu untuk konsert berkenaan.
Jelas beliau semakan mendapati Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Perbendaharaan Negeri Kelantan belum lagi menerima sebarang permohonan rasmi untuk penganjuran konsert tersebut.
Semakan dibuat selepas terima tangkap layar papr iklan jual tiket di sebuah pautan dalam talian
Kata Hilmi lagi, semakan berkenaan dibuat sebaik pihaknya menerima beberapa tangkap layar iklan penjualan tiket berkenaan secara dalam talian melalui pautan ILASSOTICKET.COM bagi program bertajuk “Wali (Semalam di Kelantan).”
“Pihak MPKB-BRI selaku pegawai pelesenan dan Perbendaharaan Negeri Kelantan mengesahkan tiada sebarang permohonan rasmi diterima setakat semalam (26 Oktober 2026) bagi program seperti yang tertera pada poster yang tular,” ujarnya, lapor Sinar Harian.
Semakan dengan pihak pengurusan stadium, ada syarikat guna stadium pada tarikh terbabit
Walau bagaimanapun semakan dengan pihak pengurusan Stadium Sultan Muhammad IV mendapati ada tempahan dilakukan sebuah syarikat untuk menggunakan stadium terbabit pada tarikh program dinyatakan dalam iklan itu.
Akan tetapi Hilmi menjelaskan tempahan terbabit tidak bermaksud penganjuran konsert itu serta penjualan tiket untuk program terbabit sudah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa negeri Kelantan.
“Pihak kerajaan negeri mengesahkan tiada kelulusan diberikan oleh MPKB-BRI dan Perbendaharaan Negeri Kelantan bagi penganjuran acara hiburan serta penjualan tiket dalam talian seperti yang dipaparkan dalam poster berkenaan.”
Ingatkan pihak penganjur perlu patuhi ketetapan pihak berkuasa untuk adakan sebarang program
Beliau dalam masa sama turut mengingatkan pihak penganjur untuk mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 2025, terutama berhubung larangan mengiklankan program hiburan atau menjual tiket sebelum lesen diluluskan pihak berkuasa.
“Menurut Seksyen 20 Enakmen itu, mana-mana individu yang melanggar larangan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“Sementara itu, Seksyen 21 memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan menjual, mengedar, menawarkan atau mempamerkan tiket tanpa kebenaran mengikut peruntukan yang ditetapkan,” jelasnya lagi.
Nasihat pihak penganjur kemukan permohonan
Justeru itu, Hilmi menasihatkan para penganjur hiburan untuk mengemukakan permohonan mereka mengikut prosedur dan patuhi kepada syarat serta peratusan yang sudah ditetapkan.
Perkara itu adalah untuk mengelakkan daripada sebarang implikasi undang-undang.
Menerusi semakan kami sebelum ini Wali Band pernah membuat konsert di Kelantan pada tahun 2010.
Malah konsert itu turut mendapat perhatian Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan yang mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri untuk membenarkan kumpulan berkenaan membuat persembahan di negeri terbabit, lapor Malaysiakini.
Orang ramai maklum Wali Band pernah buat persembahan di Kelantan
Melihat di ruangan komen pada hantaran yang tular itu pula, ada yang mengatakan sebarang pengajuran konsert di Kelantan boleh lulus sekiranya persembahan itu dibuat oleh lelaki namun ia wajib dimohon kepada MPKB untuk kelulusan.
Selain itu, dia juga memaklumkan tempat duduk penonton lelaki dan perempuan pula akan diasingkan.
Namun semakan kami pada Garis Panduan Hiburan Dan Sukan Negeri Kelantan 2025 mendapati pengamal seni atau artis lelaki mahupun wanita dibenarkan dengan syarat mengikut peraturan, antaranya:
- Artis wanita hanya boleh membuat persembahan di hadapan khalayak wanita sahaja dan di tempat tertutup.
- Artis lelaki boleh membuat persembahan di hadapan khalayak lelaki dan wanita di tempat terbuka.
- Semua artis muslim perlu menutup aurat dengan sempurna.
- Artis yang bukan Islam hendaklah berpakaian sopan semasa melakukan persembahan.
Pun begitu terdapat pengecualian di mana artis wanita boleh membuat persembahan secara terbuka bagi acara seperti persembahan:
- Sajak
- Puisi
- Pantun
- Syair
Asalkan ia berbentuk keagamaan atau patriotik.
Ada juga yang memaklumkan sebelum ini kumpulan penyanyi Indonesia itu pernah melakukan persembahan di negeri berkenaan.
“Sebarang konsert dekat Kelantan boleh lulus kalau persembahan tu dibuat lelaki, wajib mohon MPKB untuk kelulusan, kena asingkan tempat duduk perempuan dan lelaki, dan tentulah kena cas hiburan. Yang tak diluluskan kalau persembahan tu dibuat oleh perempuan”

“Dulu masa Wali Band tengah naik dia pernah datang dah buat konsert di Stadium Kelantan. Kumpulan Indonesia pertama datang Kelantan, jadi tak ada isu pun untuk dia datang lagi”





