Poster Tular Konsert Wali Semalam Di Kelantan Tiada Kelulusan - EXCO

LocalEntertainment
27 Oct 2026 • 1:46 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Poster Tular Konsert Wali Semalam Di Kelantan Tiada Kelulusan - EXCO

Penganjuran program hiburan Wali: Semalam di Kelantan yang diiklankan bakal berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV disahkan belum menerima kelulusan pihak berkuasa setakat 26 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, semakan telah dibuat dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Perbendaharaan Negeri Kelantan.

Konsert Wali Semalam Di Kelantan Tiada Kelulusan

Image from: Poster Tular Konsert Wali Semalam Di Kelantan Tiada Kelulusan - EXCO

Menurutnya, kedua-dua agensi berkenaan mengesahkan bahawa tiada permohonan rasmi diterima bagi penganjuran program tersebut berdasarkan tajuk yang tertera pada poster tular.

"Kedua-dua agensi ini mengesahkan bahawa tiada sebarang permohonan rasmi diterima setakat semalam 26/10/2026 atas tajuk program sebagaimana poster yang tular," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, semakan dengan pihak pengurusan Stadium Sultan Muhammad IV mendapati terdapat tempahan oleh sebuah syarikat untuk menggunakan stadium berkenaan pada tarikh yang diiklankan.

Baca juga:

Sehubungan itu, Hilmi menegaskan bahawa tiada kelulusan diberikan oleh MPKB-BRI selaku pegawai pelesen mahupun Perbendaharaan Negeri Kelantan bagi penganjuran acara hiburan dan penjualan tiket secara dalam talian seperti yang diiklankan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa Seksyen 20 Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 2025 melarang penjualan tiket serta pengiklanan hiburan tanpa lesen yang diluluskan.

Menurut peruntukan tersebut, individu yang melanggar larangan berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Hilmi turut menasihatkan semua penganjur supaya mengemukakan permohonan mengikut prosedur ditetapkan dan mematuhi segala syarat serta peraturan di bawah enakmen berkenaan bagi mengelakkan implikasi undang-undang.

Sementara itu, semakan di laman web iLassotickets.com mendapati tiket program berkenaan tidak lagi disenaraikan untuk jualan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved