Kerajaan laksana inisiatif tingkat taraf hidup Keluarga Malaysia di Pahang

LocalPolitics
29 Oct 2022 • 4:36 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUANTAN: Kerajaan telah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif di Pahang untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan taraf hidup serta memastikan keselesaan Keluarga Malaysia di negeri berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah memperuntukkan sebanyak RM3.32 bilion untuk 101 projek pembangunan di Pahang melibatkan 39 projek baharu dan 62 projek sambungan.

“Di bawah KPLB, sebanyak 60 unit rumah dibina dan 2,250 unit dibaik pulih di bawah Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia, melibatkan peruntukan RM36 juta, yang memberi manfaat kepada lebih 11,500 ahli isi rumah luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Pahang di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri berkata bagi membantu golongan berpendapatan rendah di Pahang, 12,444 unit rumah di bawah Program Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah siap dibina, manakala 2,171 unit dalam pembinaan dan 3,905 unit lagi dalam perancangan, menjadikan keseluruhan sebanyak 18,520 unit.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga komited dalam melaksanakan Pakej Central Spine Road (CSR) sepanjang Kuala Krai, Kelantan ke daerah Bentong, Pahang sejauh 350 kilometer tanpa tol dengan kos projek sebanyak RM8.7 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

“Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM1.307 bilion untuk menaik taraf dan menyenggara jalan persekutuan di Pahang, sekali gus akan membuka kawasan baharu dan merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat,” katanya.

Selain itu, dalam sektor pendidikan di Pahang, terdapat 40 projek baharu dan sambungan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos RM754 juta di bawah Rolling Plan Kedua RMK12 Tahun 2022, iaitu 13 projek telah siap sepenuhnya, 18 dalam peringkat pelaksanaan dan sembilan berstatus prabina.

Beliau berkata dalam bidang kesihatan, dua Klinik Kesihatan juga sedang dibina dengan Kuarters Bandar Raub dan Kuala Triang, Bera melibatkan peruntukan RM40 juta yang dijangka siap tahun hadapan.

Dalam pada itu, bagi menghadapi monsun timur laut, RM1.8 bilion disediakan di bawah projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai termasuk di Kampung Tanjung Batu, Pekan dan Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting Mukim Pelangai di Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar Bera.

Ismail Sabri berkata bagi mengurangkan masalah serta meningkatkan kelancaran sistem saliran, terdapat projek perintis kawalan hakisan dan kelodak di kawasan bercerun Cameron Highlands yang melibatkan kos RM6.07 juta.

Katanya, sejumlah RM1.215 bilion juga akan dibelanjakan untuk pembinaan dua loji rawatan air baharu, lima projek penambahbaikan loji rawatan air dan muka sauk, tujuh projek pembinaan tangki air untuk sistem agihan dan satu Program Non Revenue Water (NRW) bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Pahang.-Bernama