
Kerajaan Longgarkan Syarat Permit, Pemilik Jentera Pertanian Boleh Beli Diesel Lebih 20 Liter
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memudahcara pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan.
Menurutnya dalam satu kenyataan, syarat keperluan permit khas bagi pembelian melebihi 20 liter akan dilonggarkan.
"Pemilik mesin atau jentera pertanian dibenarkan membeli diesel melebihi had tersebut dengan mengemukakan pendaftaran jentera.
"Kerajaan akan memperincikan garis panduan pelaksanaan dalam tempoh terdekat," kata MoF pada Selasa.
Selain kelonggaran syarat ini, MoF juga mengumumkan mengenai kenaikan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP), bantuan BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu.
Menerusi kenyataan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kerajaan memahami kesan langsung kenaikan kos bahan api dan rantaian bekalan kepada rakyat.
BUDI Agri-Komoditi & BUDI Diesel Individu Dinaikkan Kepada RM400 Sebulan
IPKP Dinaikkan Daripada RM160 Kepada RM300 Sehektar - MoF
Justeru, langkah segera telah diambil untuk menambah baik bantuan secara bersasar, khususnya kepada pesawah, petani, pekebun kecil serta pemilik kenderaan diesel individu yang layak.
"Keutamaan kerajaan MADANI adalah jelas iaitu untuk memastikan keterjaminan bekalan barangan asas untuk rakyat, ekoran kenaikan harga minyak mendadak dan gangguan rantaian bekalan dunia.
"Langkah yang diumumkan hari ini melibatkan perbelanjaan tambahan, antaranya untuk membantu pengeluar makanan demi kelangsungan bekalan makanan untuk rakyat," katanya.
MoF berkata kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus memantau perkembangan terkini di Asia Barat serta impaknya kepada Malaysia.
Kerajaan juga bersedia mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk membantu golongan rakyat yang terkesan serta menstabilakna ekonomi.

