Kerajaan lulus RM1.5 juta untuk persatuan wanita di Sabah

LocalPolitics
25 Aug 2024 • 1:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Hayati Dzulkifli

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta kepada persatuan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO) wanita bagi melaksanakan lebih banyak program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada pembangunan wanita di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, peruntukan itu juga sebagai tanda sokongan daripada kerajaan yang amat menghargai peranan dan sumbangan wanita secara keseluruhannya.

“Justeru, melihat kepada kepentingan peranan persatuan wanita, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) wanita di negeri ini, yang akan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa).

“Saya berharap peruntukan ini dapat membantu persatuan wanita dalam melaksanakan program atau aktiviti yang memberi manfaat kepada wanita di seluruh negeri ini.

SPONSORED CONTENT Hajiji says young business professionals' inputs needed to develop Sabah Kota Kinabalu: Chief Minister Datuk Seri Hajiji Noor said he welcomed inputs from young business professionals to assist in policy formulation. Read more “Kita sememangnya memperakui betapa pentingnya peranan dan sumbangan kaum wanita dalam apa jua bidang ke arah kemajuan dan pembangunan negara.

“Ini termasuk dalam pembangunan institusi kekeluargaan, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran serta arena politik,” katanya sempena Majlis Sambutan Hari Wanita peringkat negeri Sabah dengan tema Wanita Dijulang, Negara Gemilang, di sini, pada Jumaat malam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk lr Shahelmey Yahya.

Pada majlis anjuran Jhewa itu, Shahelmey mewakili Ketua Menteri menyampaikan lima anugerah iaitu Wanita Cemerlang kepada Prof Madya Dr Rozita @ Uji Binti Mohammed, Usahawan Wanita Cemerlang kepada Erliana Binti Said, Anugerah Kepimpinan Wanita Luar Bandar kepada Jaliha@ Zaliha Mating, Anugerah Khas Individu Lelaki kepada Datuk Asnan Yunus, dan Anugerah Persatuan Wanita Cemerlang kepada Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Sabah.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM6.36 juta kepada Jhewa dan RM700,000 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) pada tahun ini bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita.

“Justeru, saya mahu MPWS sebagai badan pemikir dan penasihat berhubung hal ehwal wanita, akan lebih agresif dan proaktif dalam menyumbangkan buah fikiran dan idea baharu ke arah memperkasakan lagi penyertaan dan pembangunan kaum wanita di Sabah.

“Sementara itu, Jhewa sebagai agensi kerajaan negeri yang dipertanggungjawabkan menangani hal ehwal wanita, diharapkan terus melaksanakan program pembangunan wanita secara efektif dan efisien menepati sasaran dan perancangan,” katanya.

Beliau berkata ramai dalam kalangan wanita pada hari ini sudah seiring dengan pencapaian golongan lelaki, termasuk berjawatan tinggi dalam pasukan keselamatan negara; jawatan yang suatu ketika dahulu hanya dimonopoli oleh lelaki.

“Tidak kurang juga ramai yang menjadi doktor, peguam, jurutera, termasuk menceburi kerjaya sebagai juruterbang dan angkasawan. Ini jelas membuktikan bahawa wanita juga adalah pemangkin kepada kecemerlangan negara, selaras dengan aspirasi Masyarakat Madani.

“Dalam konteks negeri Sabah, kita sentiasa menyokong dan mengiktiraf golongan wanita untuk menyertai kumpulan pembuat dasar atau pembuat keputusan,” katanya.

Setakat ini, beliau berkata, Sabah mempunyai beberapa wanita yang menyandang jawatan tertinggi, termasuk dalam Kabinet negeri, selain mengetuai atau menerajui sektor awam serta swasta.

“Saya percaya lebih ramai lagi golongan wanita akan menjadi peneraju atau ketua dalam sektor awam mahu pun swasta pada masa hadapan,” katanya.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib, pembantu menterinya Datuk Flovia Ng, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato’ Sri Fatimah Abdullah, Pengarah MPWS Datuk Dr Tarsiah Tz Taman, Pengarah Jhewa Haslina Ismail, serta pegawai kanan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.