Kerajaan Madani sumbang komputer riba, bantuan tunai kepada 761 anak Kelantan cemerlang SPM

LocalBusiness & Finance
23 May 2026 • 2:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan Madani sumbang komputer riba, bantuan tunai kepada 761 anak Kelantan cemerlang SPM
Muhammad Kamil (tengah) bersama penerima pada Program Sumbangan Komputer Riba dan Bantuan Awal Ke Institusi Pengajian Tinggi kepada anak-anak eKasih Cemerlang SPM 2025 Negeri Kelantan, Jajahan Kota Bharu yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu pada Sabtu. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Kerajaan melalui Inisiatif Sejahtera Madani menyerahkan sumbangan komputer riba dan bantuan tunai RM1,000 kepada 761 anak-anak Kelantan yang cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 sebagai persediaan awal melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Mereka ini terdiri daripada keluarga miskin serta miskin tegar yang berdaftar di dalam sistem eKasih dan memperoleh keputusan 5A dan ke atas.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kerajaan memperuntukkan lebih RM3 juta bagi memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di negeri ini yang mencatat keputusan cemerlang dalam SPM tidak tercicir daripada peluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi akibat kekangan kewangan.

"Selain membantu meringankan beban keluarga, bantuan komputer riba dan tunai awal itu juga bertujuan menyediakan dorongan serta keyakinan kepada penerima untuk melangkah ke alam pengajian tinggi dengan lebih bersedia," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.

Sebelum itu, beliau merasmikan Program Sumbangan Komputer Riba dan Bantuan Awal Ke Institusi Pengajian Tinggi kepada anak-anak eKasih Cemerlang SPM 2025 Negeri Kelantan, Jajahan Kota Bharu yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu di sini.

Tambah beliau, program berkenaan dilihat sebagai manifestasi keprihatinan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan serta peluasan akses pendidikan secara lebih adil dan inklusif, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

Katanya, keberadaan ICU JPM di lapangan turut membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan setiap inisiatif yang digagaskan dapat diselaras, dipantau dan disampaikan secara berkesan kepada kumpulan sasar.