Kerajaan Madani tak diskriminasi ikut perbezaan politik

LocalPolitics
10 Nov 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kerajaan Madani tak diskriminasi ikut perbezaan politik

MELAKA – Kerajaan Madani sedia memastikan semua negeri diberi perhatian tanpa me­ngira perbezaan politik.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, ia termasuk keputusan Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM250 juta kepada Kelantan baru-baru ini.

Katanya, ia membuktikan Kerajaan Madani tidak mendiskriminasi ne­geri berdasarkan parti yang mentadbirnya.

“Kita perlu membezakan kempen pilihan raya dengan tanggungjawab sebagai kerajaan. Selepas menang, penyokong parti atau bukan penyokong, tanpa mengira kaum, semuanya rakyat yang perlu diberikan perhatian,” katanya.

Menurut Adly, kerajaan negeri dan Persekutuan masing-masing mempunyai bidang tanggungjawab tersendiri tetapi kesela­rasan dasar serta hubungan baik antara kedua-duanya memberikan kelebihan.

Tambahnya, perbezaan dasar dan kelemahan pengurusan kewangan boleh menimbulkan prasangka, sedangkan banyak projek pembangunan memerlukan kelulusan agensi Persekutuan.

“Dalam konteks ini, kita perlu bergerak ke arah politik lebih matang. Pilihan raya adalah satu perkara, tetapi memacu negara ke hadapan merupakan tanggungjawab bersama.

“Perpaduan adalah perkara paling asas dalam sistem bernegara, termasuk di Melaka,” katanya.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, komitmen kerajaan Persekutuan terhadap Melaka dapat dilihat menerusi peruntukan termasuk projek tebatan banjir di Krubong, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Jasin.

Menurut calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil itu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM1.46 bilion termasuk RM400 juta bagi projek di Masjid Tanah.

“Pembangunan mesti datang bersama kemudahan infrastruktur. Jika pembangunan dilaksa­nakan tetapi sistem saliran tidak diberikan perhatian, kesannya tetap ditanggung rakyat, khususnya apabila berlaku banjir,” katanya.

Mengulas usaha mengatasi kelewatan pelaksanaan projek, Adly berkata, pengalaman PH mentadbir Melaka sebelum ini menunjukkan proses birokrasi perlu ditambah baik bagi memastikan permohonan pemba­ngunan tidak tertangguh terlalu lama.

Katanya, ketika PH mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018, permohonan pembangunan di kawasan DUN perlu mendapatkan maklum balas Ahli DUN tanpa had tempoh yang jelas sehingga ada yang mengambil masa sehingga tiga bulan.

“Ketika kita mentadbir, kita menetapkan tempoh 14 hari untuk ADUN memberikan maklum balas terhadap permohonan. Jika membantah, mereka perlu memberikan justifikasi dan tidak boleh membiarkan permohonan tergantung begitu sahaja.

“Kita juga memperkemas proses mendapatkan ulasan agensi dengan mengurangkan jumlah agensi yang perlu memberikan maklum balas daripada 13 kepada sekitar enam agensi yang benar-benar berkaitan dengan projek,” katanya.

Beliau berkata, pendigitalan proses permohonan serta pe­nyaluran bantuan kebajikan terus ke akaun penerima antara langkah yang boleh mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepat penyampaian perkhidmatan dan memudahkan urusan rakyat.

“Jika bantuan RM100 boleh terus dimasukkan ke akaun pe­nerima, mengapa mereka perlu datang dari jauh untuk mengambilnya? Kita perlu memudahkan urusan rakyat dan mengurangkan kos pentadbiran,” katanya.

The post Kerajaan Madani tak diskriminasi ikut perbezaan politik appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved