PRN Melaka: Anwar tegur rakan kerajaan, jangan hentam di pentas kempen

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 10:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Anwar tegur rakan kerajaan, jangan hentam di pentas kempen
Dari kiri: Mohamad, Anwar dan Kor Ming semasa Majlis Makan Malam Harapan di Dewan Sekolah Mengah Pay Fong, di sini pada Khamis.

KOTA MELAKA - Pemimpin politik khususnya dalam Kerajaan Perpaduan diingatkan supaya mengamalkan budaya perbincangan dan menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat menerusi saluran sewajarnya, termasuk dalam mesyuarat Kabinet.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan perlu diberikan kepada kestabilan pentadbiran dan bukannya menggunakan pentas politik untuk menyerang rakan sekutu yang bersama-sama membentuk kerajaan.

Menurutnya, ruang perbincangan dalam Kabinet perlu dimanfaatkan bagi membangkitkan sebarang ketidakpuasan hati atau perkara yang tidak dipersetujui, berbanding mencetuskan pertelingkahan secara terbuka.

"Ini kawan saya dalam kerajaan. Dia datang kempen, dia hentam. Tapi (ada) dalam kerajaan. Kalau tidak setuju, cakap dalam Kabinet esok pagi.

"Mesyuarat pagi bermula jam 9 pagi sampai 12.30 tengah hari, tiga jam cakaplah. Kalau tidak, gaduh saja. Hentam Melayu sama Cina saja," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Harapan di Dewan Sekolah Menengah Pay Fong di sini pada Khamis.

Turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming.

Sementara itu, Anwar turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan politik kebencian dan perkauman yang boleh menggugat kestabilan negara, sekali gus menjejaskan ekonomi serta keyakinan pelabur asing.

Jelasnya, perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum perlu terus dipelihara kerana menjadi asas kepada kemajuan ekonomi serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

"Kestabilan politik dan hubungan baik antara kaum penting bagi memastikan negara terus menjadi destinasi pelaburan asing, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta menjamin masa depan generasi muda.

"Contohnya, pelaburan bernilai AS$15 bilion yang mampu menyediakan 30,000 peluang pekerjaan membuktikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia masih kukuh, walaupun beberapa negara lain berdepan pelbagai ketidaktentuan.

"Pelabur masih ada keyakinan. Kita fokus cari kerja bagi anak-anak kita. Kita fokus maju semua negeri termasuk Melaka," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved