Pada bulan lepas, Malaysia telah dikenakan sekatan akses penuh cip AI oleh Amerika Syarikat, dimana Malaysia telah dimasukkan kedalam kategori Tahap 2 bersama-sama Singapura, Israel dan UAE. Dengan sekatan ini, Malaysia hanya dibenarkan untuk membeli 50 ribu buah kad grafik untuk tujuan pembangunan teknologi AI.
Terdapat ura-ura yang perkara ini berlaku kerana Malaysia disyaki sebagai salah satu negara dimana China telah mendapatkan kad-kad grafik yang sepatutnya diharamkan daripada dijual di China, khususnya kad grafik NVIDIA yang boleh dimanfaatkan dengan tujuan untuk memesatkan teknologi AI.
Terkini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Zafrul Aziz telah menyangkal dakwaan bahawa Malaysia merupakan salah satu negara dimana China telah mendapatkan kad-ka grafik AI mereka.

Beliau mengatakan bahawa Malaysia telah mengikuti Akta Perdagangan Strategik, dan sebarang perdagangan berkenaan produk-produk sensitif yang dilakukan dengan mana-mana negara lain mengikuti rapat undang-undang yang ditetapkan oleh Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan United Kingdom.
Untuk mengetatkan lagi aturan perdagangan, Tengku Zafrul mengatakan bahawa kerajaan akan mempertimbangkan untuk mendapatkan kerjasama dengan pelbagai negara untuk memastikan ketirisan dari segi perdagangan komponen-komponen seperti cip pemprosesan dan kad grafik untuk tujuan kecerdasan buatan tidak lagi berlaku.
Beberapa minggu lalu, dunia dikejutkan dengan model bahasaraya DeepSeek dari China yang telah berjaya memperlihatkan kemampuan yang hampir memiripi model bahasaraya lebih popular seperti ChatGPT, Perplexity, Llama dan Gemini dengan kos perbelanjaan yang jauh lebih rendah. Ia dilihat menggunakan kad-kad grafik NVIDIA H100 yang walaupun dilihat agak lama, nampaknya telah didapati apabila sekatan ekonomi sudahpun dikenakan keatas China pada waktu ia dibangunkan.
Bukan itu sahaja, syarikat-syarikat teknologi pembangun AI gergasi seperti Google dan OpenAi telah disoal tentang mengapakah perbelanjaan wang yang sangat besar perlu dilakukan untuk teknologi tersebut, khususnya dengan pengumuman OpenAI yang sedang mencari pelaburan $500 bilion untuk membangunkan infrastruktur AI Stargate Project.

