
PERMATANG PAUH - Kerajaan perlu bertindak terhadap sebarang dakwaan kehilangan wang awam walaupun tindakan itu mengundang kritikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keutamaan kerajaan adalah mengenal pasti apa yang berlaku terhadap wang berkenaan, bila kehilangan berlaku dan pihak yang bertanggungjawab, bukannya membiarkan perkara itu tanpa tindakan.
Beliau menegaskan, siasatan tidak bermakna individu yang terbabit secara automatik dianggap bersalah.
Sebaliknya, setiap kes perlu disiasat secara teliti dan disokong bukti kukuh sebelum dibawa ke mahkamah untuk diputuskan hakim.
“Kita tidak boleh menghukum orang yang tidak bersalah. Saya kata RM12 bilion hilang. Bagaimana ia berlaku? Bila ia berlaku? Siapa yang membenarkan ia berlaku?
“Kalau ada bukti yang kukuh dan siasatan, maka kes itu perlu dibawa ke mahkamah dan diserahkan kepada hakim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Skim Usahawan Bangkit Madani Permatang Pauh di Yayasan Aman, Penanti, di sini hari ini.
Anwar berkata, pendekatan berkenaan merupakan sebahagian daripada sistem tadbir urus negara, dengan mereka yang didapati tidak bersalah perlu dibebaskan manakala yang disabitkan kesalahan dikenakan hukuman sewajarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sering berdepan keadaan sukar dalam menangani isu membabitkan wang awam kerana kegagalan bertindak boleh menyebabkan kerugian berterusan, manakala tindakan pula boleh mengundang kritikan.
“Seperti RCI Tabung Haji, kalau kita tidak ambil tindakan, negara rugi. Kalau kita ambil tindakan, kita dikritik. Saya tidak faham,” katanya.
Anwar berkata usaha melindungi wang awam pada asasnya adalah bagi memastikan sumber negara sampai kepada rakyat serta memberikan manfaat seperti yang sepatutnya.
Beliau berkata Malaysia bukan sebuah negara yang kekurangan sumber, namun masalah ketirisan menyebabkan kekayaan negara tidak sampai sepenuhnya kepada golongan akar umbi.
“Siapa kata Malaysia miskin? Ia cuma tidak sampai ke bawah. Banyak yang bocor,” katanya.
Beliau menegaskan usaha memperkukuh tadbir urus dan membendung ketirisan akan diteruskan walaupun berdepan kritikan kerana tanggungjawab kerajaan adalah menjaga kepentingan negara dan rakyat. - Getaran, 29 Ogos 2026






