Kerajaan Negeri digesa terus sokong projek tenaga boleh baharu

LocalEnvironment
3 Mar 2026 • 3:51 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Green Energy Association of Sabah (Gens) menggesa Kerajaan Negeri supaya terus meluluskan projek tenaga boleh baharu (TBB) bagi memperkukuh kestabilan grid serta menyokong masa depan tenaga yang mampan di Sabah.

Presidennya Dr Edward Chua berkata bekalan elektrik kini menunjukkan peningkatan ketara hasil langkah proaktif yang diambil kerajaan.

Beliau berkata ia termasuklah pembangunan sistem penyimpanan tenaga bateri (Bess) berkapasiti 400 megawatt jam (MWh) di Lahad Datu, import 50 megawatt (MW) tenaga dari Sarawak, projek solar berskala besar (LSS) 199MW, tiga loji janakuasa gas jenis “peaking” berkapasiti 100MW setiap satu di Kimanis serta tiga projek perintis tenaga angin 100MW di Kota Marudu.

“Projek-projek terbabit akan dilaksanakan menerusi usaha bersepadu melibatkan Kerajaan Negeri khususnya Majlis Tenaga Sabah, Energy Commission of Sabah (ECoS) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Gens yakin cabaran semasa berkaitan bekalan elektrik akan menunjukkan peningkatan ketara dengan pelaksanaan projek-projek ini,” katanya selepas mengetuai jawatankuasa eksekutif Gens mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam di Sembulan.

Tujuan kunjungan berkenaan adalah untuk membincangkan peranan persatuan dalam memajukan landskap tenaga boleh baharu di Sabah.

Perbincangan tersebut turut menjadi platform pertukaran pandangan secara konstruktif mengenai usaha memastikan keselamatan tenaga masa depan negeri.

“Kami juga membincangkan penyelarasan inisiatif industri dengan kerangka strategik Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2024 (SERAMP 2024),” katanya.

Gens turut menyatakan sokongan terhadap dasar “Sabah First” dalam semua projek pembangunan tenaga di bawah kerangka SERAMP 2024.

Menurutnya keutamaan kepada syarikat tempatan Sabah bukan sahaja mampu mewujudkan peluang pekerjaan malah membina ekosistem dan rantaian bekalan tempatan yang kukuh bagi menjamin kelestarian jangka panjang keselamatan tenaga negeri.

Sebagai badan profesional yang mewakili jurutera, pemaju dan penyedia perkhidmatan merentasi spektrum tenaga boleh baharu termasuk solar PV, mini hidro, bio tenaga, tenaga angin, sistem penyimpanan tenaga bateri dan tenaga geoterma Gens juga memberi taklimat menyeluruh kepada Dr Joachim mengenai objektif serta aktiviti persatuan sejak penubuhannya pada 2024.

Chua turut menjemput Dr Joachim menghadiri majlis pelantikan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Gens pada April depan.