
Kota Kinabalu: Kerajaan negeri sentiasa komited untuk melestarikan pembudayaan integriti dalam Perkhidmatan Awam Negeri ke arah penyampaian perkhidmatan cemerlang.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong berkata, bagi memastikan usaha tersebut seiring agenda pembangunan negeri, pelbagai program berimpak tinggi dilaksanakan oleh Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Antara program-program tersebut adalah Penyelarasan Pembangunan Pelan Risiko Rasuah dan Pelan Antirasuah Organisasi 16 agensi Jabatan Ketua Menteri, Pembangunan Mobile Apps Sistem i-Adu, Pembangunan Sistem i-Perform serta Seminar Pengurusan Aduan.
“Beberapa pekeliling berkaitan pengurusan tatatertib juga akan disemak semula selain penggubalan polisi baharu sebagai rujukan agar pengurusan tatatertib di setiap agensi perkhidmatan awam menjadi lebih cekap dan teratur.
“Kerajaan negeri juga akan memastikan semua agensi membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan menggalakkan Pensijilan Anti Bribery Management System (ABMS),” katanya semasa Majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah tahun 2023 di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar semua penjawat awam negeri Sabah terus bersama-sama berusaha menambah baik perkhidmatan dan tadbir urus sedia ada agar rakyat yakin terhadap keupayaan penjawat awam melaksanakan dasar yang telah dimandatkan.
“Teruslah berkhidmat dengan sepenuh hati, responsif dengan kesusahan masyarakat, tepat menyelesaikan isu dan inklusif dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada setiap lapisan agar keperluan sebenar rakyat dapat dipenuhi,” ujarnya lagi.
Turut diadakan ialah pelancaran Pelan Strategik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tahun 2023-2024, Sistem i-Perform, Sistem i-Office (Intelligent Office Systems) dan Pelancaran Sabah Tamu.
Hadir sama, Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Rosmadi Sulai, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Tugas-Tugas Khas, Sapdin Ibrahim, Setiausaha-setiausaha Tetap (SUT) Kementerian dan ketua-ketua jabatan negeri.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

