
Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan terus memberikan sokongan dan dokongan kepada Kerajaan Negeri pimpinannya dalam usaha gigih memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat.
Katanya, “sekarang adalah masanya untuk kita bekerja keras, membangunkan semula ekonomi negeri dan memajukan rakyat,”
“This is the time to work. Time to walk the talk and to deliver what we have planned for the rakyat. Percayalah, setiap daripada kita menginginkan kerajaan yang stabil; negeri dan negara yang makmur, supaya kita dapat hidup dengan aman dan sentosa”.
“Sebagai anggota perkhidmatan awam, kita seharusnya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap segala usaha bagi membina semula ekonomi negeri dan membela nasib rakyat”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan di Sabah, di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC), pada Selasa.
Majlis itu yang turut dihadiri oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, merupakan perhimpunan penjawat awam terbesar, malah julung kalinya seorang PM hadir untuk menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam di negeri ini.
Hajiji berkata, meski pun baharu dua tahun lebih beliau menerajui kepimpinan negeri, cabaran dan ujian yang dilaluinya amat luar biasa.
Menurutnya, terlepas daripada ancaman pandemik, berhadapan pula dengan cabaran kegawatan politik dan ekonomi, dan dalam kita sedang menyusun segala strategi untuk memperkukuhkan pentadbiran serta memulihkan ekonomi negeri, tiba-tiba datang lagi ujian baharu berupa cubaan untuk mengganggu dan menjatuhkan kerajaan.
“Sungguh luar biasa ujian dan tribulasi yang datang silih berganti. Namun, saya sangat bernasib baik, kerana mempunyai rakan-rakan dalam kepimpinan negeri, termasuk jentera kerajaan, iaitu anggota perkhidmatan awam, yang tetap memberikan sokongan dan dokongan dalam usaha gigih kita untuk memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat”, tegasnya.
Dalam mengorak langkah ke hadapan, Hajiji mengajak anggota perkhidmatan awam untuk melipatgandakan lagi usaha serta khidmat bakti kepada negeri, rakyat dan masyarakat; dengan pertanggungjawaban, jati diri dan iltizam yang tinggi dalam memikul amanah dan tanggungjawab dalam memastikan negeri ditadbir dan diurus dengan cemerlang, manakala rakyat dibela dengan sebaik-baiknya.
Beliau berkata, sebagai jentera pelaksana dasar dan program pembangunan kerajaan, anggota perkhidmatan awam menjadi pemangkin bagi merealisasikan apa juga dasar dan perancangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Menurutnya, dalam konteks negeri Sabah, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 merupakan wadah untuk menempatkan semula Sabah pada landasan yang tepat ke arah kemajuan dan pembangunan yang holistik merangkumi kemakmuran ekonomi, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, pendekatan itu adalah selaras dan selari dengan aspirasi PM yang telah memperkenalkan gagasan besar Malaysia Madani, sebagai paradigma baharu untuk negara mengolah hala tuju dasar dan pelaksanaan strategi yang merentas semua sektor, termasuk kemanusiaan dan modal insan, ke arah mengangkat semula martabat negara di persada dunia.
“Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Sabah adalah negeri terawal yang menyambut baik konsep Malaysia Madani dengan menganjurkan seminar, forum dan bengkel bagi mengupas dan mendalami konsep Malaysia Madani.
“Saya berharap agar seluruh anggota perkhidmatan awam sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk menghadapi perubahan dan cabaran, sesuai dengan perkembangan dan kehendak semasa.
“Jangan sekali-kali mudah selesa dengan pencapaian yang ada. Jadilah penjawat awam yang berdaya kreatif, bersikap proaktif serta memiliki semangat untuk berlumba dalam mencapai kejayaan secara sihat, berintegriti dan menjauhi rasuah.
“Kita tidak seharusnya mudah berasa selesa atau “complacent” dengan pencapaian yang ada, kerana perjalanan kita masih jauh dan berliku. Justeru, kita perlu mempercepatkan langkah agar tindakan kita bukan sahaja pantas dan tangkas, tetapi juga tepat pada sasaran dalam memastikan kemajuan dan kejayaan.
“Lipat gandakan usaha, “work hard” dan “work smart”, bagi mengekalkan rekod kejayaan dan kecemerlangan kita dalam mengurus dan mentadbir negeri yang tercinta ini.
“Anggota perkhidmatan awam adalah jentera kerajaan yang juga bertanggungjawab dalam memastikan peningkatan hasil negeri. Jika hasil negeri dapat ditambah dan ditingkatkan, tentunya ia akan memberi manfaat yang besar kepada seluruh rakyat, termasuklah juga di kalangan penjawat awam itu sendiri yang akan menerima pelbagai insentif dan imbuhan”, tambahnya.
Hajiji turut menegaskan berkat kerja keras semua pihak, pada tahun lalu Sabah telah berjaya mengutip hasil negeri sebanyak RM7 bilion, iaitu jauh melepasi angka yang disasarkan. Manakala nilai pelaburan mencecah RM33 bilion, melibatkan beberapa syarikat pelabur dari dalam dan luar negara.
Katanya, kejayaan ini adalah juga kejayaan anggota perkhidmatan awam yang telah mempamerkan komitmen dan kerja keras yang membanggakan.
Hajiji turut menyentuh pencapaian Kerajaan Negeri dibawah pimpinannya dalam tempoh dua tahun, antaranya ialah pemeteraian perjanjian Commercial Collaboration Agreement (CCA) dengan pihak Petronas yang berprinsipkan “Greater Say, Greater
Participation and Greater Revenue”, meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah dan RUU Bekalan Gas 2023, yang memberi kuasa sepenuhnya kepada Sabah dalam pengendalian bekalan gas, termasuk operasi tenaga elektrik mulai 1 Januari 2024.
“Perlu diingat bahawa kejayaan ini membuktikan sokongan dan keprihatinan PM terhadap tuntutan
yang kita kemukakan berkaitan hak-hak Sabah seperti yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)”, tegasnya.
Hajiji turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Anwar yang telah memperuntukkan RM6.5 bilion untuk pembangunan negeri Sabah dalam Belanjawan Persekutuan yang dibentangkan semula.
Katanya, sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, Sabah memerlukan peruntukan yang besar untuk meneruskan agenda pembangunan di negeri yang masih jauh tertinggal.
Menurutnya, peruntukan RM6.5 bilion itu sebenarnya tidak termasuk beberapa inisiatif lain, antaranya merangkumi pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah/Sarawak sebanyak RM20 bilion dan RM1 bilion lagi untuk membangunkan kawasan sempadan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia.
Hajiji juga yakin Malaysia mampu bangkit kembali menjadi negara yang disegani dan dihormati di bawah pimpinan dinamik Anwar.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

