Kerajaan Negeri Sembilan bantah saman pemula 10 ADUN

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 9:13 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kerajaan Negeri Sembilan bantah saman pemula 10 ADUN

SEREMBAN – Kes saman pemula 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan yang mencabar pembatalan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berdepan bantahan awal apabila Kerajaan Negeri mempertikaikan kaedah pemfailan tindakan undang-undang itu.

Bantahan tersebut dibangkitkan pada prosiding pengurusan kes kali pertama di Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini, dengan pendengaran permohonan bantahan awal ditetapkan pada 16 November ini melalui aplikasi Zoom.

Di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain itu, Kerajaan Negeri selaku defendan kedua yang diwakili peguam, Razlan Hadri Zulkifli membangkitkan isu bahawa perkara berkenaan tidak sepatutnya difailkan melalui saman pemula, sebaliknya menerusi semakan kehakiman.

Bantahan itu turut disokong oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan selaku defendan pertama serta pihak pencelah yang dicadangkan iaitu Raja Norazli Raja Nordin dan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan.

Sementara itu, satu lagi pendengaran berkaitan permohonan Raja Norazli dan DKU Negeri Sembilan yang ingin campur tangan dalam saman pemula yang difailkan oleh 10 bekas Exco Negeri Sembilan berhubung tafsiran Perlembagaan Negeri ditetapkan pada pukul 9 pagi, 2 November ini juga menerusi sidang video Zoom

Dalam prosiding hari ini, mahkamah dimaklumkan bahawa plaintif yang diwakili peguam, Mohd. Hafarizam Harun telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan pada 14 Oktober lalu bagi mendapatkan rujukan mengenai soalan berkaitan tafsiran peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan di bawah Perkara 34(2).

Saman pemula itu difailkan pada 5 Oktober lalu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE

The post Kerajaan Negeri Sembilan bantah saman pemula 10 ADUN appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved