10 Bekas Exco Negeri Sembilan Cabar Pembatalan Pelantikan Di Mahkamah Persekutuan

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 3:59 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

10 Bekas Exco Negeri Sembilan Cabar Pembatalan Pelantikan Di Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR - Sepuluh bekas anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, membatalkan pelantikan mereka bulan lalu.

Mereka ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Datuk Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Menurut laporan Bernama, permohonan itu menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan sebagai responden.

Notis usul berkenaan difailkan pada 14 Oktober menerusi firma guaman Messrs Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Menerusi permohonan itu, mereka memohon Mahkamah Persekutuan menentukan tiga persoalan undang-undang berkaitan tafsiran dan kesan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Persoalan berkenaan timbul susulan saman pemula yang difailkan mereka di Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Oktober bagi mencabar kesahan pemberitahuan warta yang membatalkan pelantikan mereka sebagai anggota Exco negeri.

Antara isu utama yang dibangkitkan ialah sama ada Perkara 38(5), apabila dibaca bersama Perkara 38(2), 38(3), 38(4), 40(1), 40(1A) dan 40(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, membenarkan Yang di-Pertuan Besar membatalkan pelantikan anggota Exco tanpa nasihat Menteri Besar.

Sekiranya mahkamah memutuskan tindakan itu tidak dibenarkan, mereka memohon penentuan sama ada pembatalan pelantikan yang diwartakan pada 24 September itu bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan tidak sah di sisi undang-undang.

Mereka turut mempersoalkan sama ada Perkara 38(5), apabila dibaca bersama Perkara 28(1), membawa maksud istilah Raja Pemerintah merujuk kepada Yang di-Pertuan Besar, sekali gus memberikan baginda kuasa membatalkan pelantikan anggota Exco mengikut budi bicara sendiri tanpa nasihat Menteri Besar.

Jika tafsiran itu tidak tepat, mereka memohon mahkamah menentukan sama ada pembatalan pelantikan mereka bertentangan dengan undang-undang tubuh negeri.

Pada 20 September lalu, pihak istana memaklumkan bahawa Tuanku Muhriz telah membatalkan pelantikan kesemua anggota Exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Pembatalan itu diwartakan pada 24 September, dengan tarikh kuat kuasa ditetapkan pada 20 September.

Menurut warta berkenaan, pelantikan mereka dibatalkan dan diisytiharkan tidak sah atas alasan mereka melanggar sumpah taat setia kepada Tuanku Muhriz apabila bersetuju untuk menyingkirkan baginda daripada kedudukan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan dijadual berlangsung di hadapan Timbalan Pendaftar hari ini. - Getaran, 21 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved