Kerajaan Pahang serah urusan kebumi mangsa nahas pesawat kepada waris

19 Aug 2023 • 4:50 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KLANG - Kerajaan negeri Pahang menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian mangsa nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis lepas, kepada waris masing-masing.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata urusan tersebut merupakan isu peribadi dan hak keluarga mangsa yang terlibat.

“Bagi kerajaan negeri, terserah kepada keluarga untuk memutuskan pengebumian berkenaan tidak semestinya pengebumian satu lahad dibuat, ia terpulang kepada keluarga dan kita perlu menghormatinya,” kata beliau ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan jenazah mangsa nahas itu berkemungkinan dikebumikan dalam satu lahad sekiranya dipersetujui waris.

Perkara itu dimaklumkan melalui taklimat ringkas pihak berkuasa kepada waris yang menunggu, di Jabatan Forensik hospital berkenaan.

Mohd Sharkar berkata kerajaan negeri akan memfokuskan terhadap perkara lain, agar urusan pengebumian mangsa dapat disegera dan dipermudahkan.

Tragedi yang berlaku pada 2.48 petang itu, menyaksikan sebuah pesawat terhempas dan mengorbankan kesemua dua kru dan enam penumpang, selain meragut nyawa dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing.

Pemerhatian Bernama di perkarangan Jabatan Forensik HTAR sehingga petang ini mendapati tiada waris nahas berkenaan berkumpul di khemah yang sediakan.

Terdahulu, isteri kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, hadir ke Jabatan Forensik HTAR pada 11 pagi tadi.

Datin Seri Maziah Samsudin turut dilihat bertemu Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung jenazah suaminya.

Sementara itu, Hussein ketika ditemui pemberita berkata satu lagi keputusan padanan asid deoksiribonukleik (DNA) dijangka diperoleh petang ini dan jenazah akan diserahkan kepada waris mangsa pagi esok. - 19 Ogos, 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved