
SEREMBAN, 29 JULAI: Penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Oktober ini dijangka memberi limpahan manfaat ekonomi yang lebih meluas kepada rakyat, termasuk peniaga kecil dan komuniti setempat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Kerajaan MADANI mahu memastikan manfaat penganjuran acara bertaraf dunia itu tidak hanya tertumpu kepada syarikat, hotel dan restoran besar, sebaliknya turut membuka peluang peniaga kecil di sekitar Sepang bagi menjana pendapatan.
"Saya tidak mahu syarikat besar, hotel-hotel besar, restoran-restoran besar sahaja (yang dapat manfaat ekonomi), saya nak gerai yang ada dikeliling Sepang itu selain daripada restoran-restoran besar, mesti siapkan semua gerai-gerai yang orang berpendapatan kecil ini, supaya boleh buka dan berniaga," kata beliau.
Anwar berkata demikian pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar Tingkatan Enam dan Politeknik Seluruh Negeri Sembilan yang melibatkan kira-kira 2,000 pelajar, di sini hari ini.
Beliau berkata tempahan hotel di Putrajaya dan Kuala Lumpur juga menunjukkan permintaan yang tinggi susulan penganjuran perlumbaan itu, sekali gus memberi manfaat kepada sektor pelancongan dan industri perhotelan negara.
Beliau berkata kerajaan kini menyelaras persiapan membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bagi penganjuran perlumbaan berjalan lancar.
Anwar berkata kerajaan juga sedang berunding dengan Perdana Menteri Bahrain Putera Salman Hamad Al Khalifa bagi mendapatkan kadar tiket istimewa untuk pelajar kolej dan institusi pengajian tinggi menerusi inisiatif Tiket MADANI F1.
"Orang minta ada tak tiket F1 MADANI? Saya kata yang anjur tu Bahrain. Tiket itu sebahagian dah jual, dan jual paling murah 100 dolar (USD100) per tiket. 100 dolar sama dengan RM400 satu tiket.
"Jadi sekarang saya tengah runding dengan Perdana Menteri Bahrain, boleh tak bagi istimewa sikit untuk anak-anak universiti, anak-anak kolej," kata beliau.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga mahu mengetengahkan persembahan kebudayaan Malaysia kepada penonton F1, selain melatih ratusan sukarelawan termasuk pelajar Tingkatan Enam Rendah bagi membantu kelancaran acara berkenaan.
Sementara itu, Anwar ketika berucap menyeru pelajar supaya tidak terpengaruh dengan politik yang cuba melaga-lagakan kaum, sebaliknya menghargai kepelbagaian masyarakat yang menjadi identiti Malaysia.
Beliau berkata kedudukan orang Melayu tetap terjamin berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, justeru usaha memberi pengiktirafan dan menjaga hak semua kaum tidak seharusnya dilihat sebagai tindakan menolak atau menghakis kedudukan Melayu.
"Ini Malaysia, sebab itu saya tidak setuju bila politik kita ini nak laga-lagakan satu kaum dengan kaum. Orang tidak pernah pertikai negeri ini majoriti Melayu, raja, Perdana Menteri, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Gabenor Bank Negara, semua Melayu," kata beliau.
Perdana Menteri berkata selepas hampir 70 tahun negara mencapai kemerdekaan, rakyat perlu lebih berwaspada supaya isu kaum tidak dijadikan modal politik untuk mencetuskan kemarahan dan perpecahan.
"Perlembagaan juga beri jaminan bahawa rakyat Malaysia daripada semua kaum harus dirangkum sebagai suatu keluarga. Kita mesti beri pengiktirafan kepada mereka. Pengiktirafan kepada semua itu tidak bermakna menolak sesiapa, kedudukan orang Melayu masih terjamin," kata beliau.
-- BERNAMA





