Pertumbuhan gaji perlu seiring kos sara hidup

Business & Finance
29 Jul 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pertumbuhan gaji perlu seiring kos sara hidup

KUALA LUMPUR: Prestasi makroekonomi Malaysia yang terus berkembang kukuh perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan isi rumah dan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti supaya manfaat pertumbuhan dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Fraziali Ismail berkata, Malaysia kini berada dalam kedudukan ekonomi yang baik dengan pertumbuhan mengatasi purata sejarah, disokong kadar inflasi dan pengangguran yang rendah serta asas ekonomi yang kekal kukuh.

Ujarnya, cabaran utama negara ketika ini bukan lagi sekadar mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi, sebaliknya memastikan manfaat pertumbuhan itu benar-benar dinikmati rakyat menerusi peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Malaysia mempunyai angka makroekonomi yang sangat baik. Pertumbuhan ekonomi kekal tinggi, inflasi rendah, kadar pengangguran rendah dan asas ekonomi juga kukuh.

“Namun, kita perlu mengakui masih terdapat jurang antara prestasi ekonomi negara dengan persepsi rakyat di peringkat akar umbi.

“Cabaran kita sekarang bukan lagi sekadar mencatat pertumbuhan ekonomi yang tinggi, tetapi memastikan manfaat pertumbuhan itu benar-benar dirasai melalui peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti,” katanya ketika menjadi ahli panel sesi ‘Pertumbuhan Gaji Perlahan, Kos Sara Hidup Meningkat: Apa yang Perlu Diubah? sempena Simposium Sasana 2026 di sini, semalam.

Menurut beliau, persepsi pertumbuhan ekonomi tidak memberi manfaat kepada rakyat perlu dilihat secara menyeluruh kerana pelbagai dasar yang diperkenalkan kerajaan sejak beberapa tahun lalu telah memberi impak langsung kepada jutaan rakyat Malaysia.

Katanya, pelaksanaan gaji minimum RM1,700 memberi manfaat kepada kira-kira 4.4 juta pekerja, manakala pelaksanaan gaji sara hidup di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) turut meningkatkan pendapatan puluhan ribu pekerja.

“Pelarasan gaji penjawat awam, pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) serta pelbagai subsidi kerajaan turut membantu mengukuhkan kedudukan kewangan isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Malah, sekurang-kurangnya separuh rakyat Malaysia menerima manfaat secara langsung daripada pelbagai inisiatif ini, manakala lebih ramai lagi memperoleh manfaat secara tidak langsung melalui pelbagai bentuk bantuan dan subsidi yang disediakan kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui tekanan kos sara hidup pascapandemik Covid-19 menyebabkan pertumbuhan pendapatan isi rumah masih belum dapat menyaingi peningkatan kos kehidupan, sekali gus mewujudkan tanggapan bahawa manfaat pertumbuhan ekonomi belum dirasai sepenuhnya.

Mengulas cabaran jangka panjang, Fraziali berkata, Malaysia perlu menangani beberapa isu struktur yang terus mengekang pertumbuhan gaji, termasuk kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah, kekurangan penciptaan pekerjaan berkualiti serta ketidakpadanan kemahiran antara keperluan industri dengan sistem pendidikan.

Sehubungan itu, beliau berkata negara perlu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing berkemahiran rendah dengan menggalakkan syarikat melaksanakan automasi, pendigitalan dan penggunaan teknologi bagi meningkatkan produktiviti serta nilai tambah industri.

“Kita perlu mewujudkan keadaan yang lebih seimbang supaya kos menggaji pekerja tempatan dan pekerja asing menjadi lebih adil. Jika jurang kos terlalu besar, pekerja tempatan akan terus berdepan kesukaran untuk bersaing,” katanya. – UTUSAN

The post Pertumbuhan gaji perlu seiring kos sara hidup appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved