Kerajaan pastikan projek pembangunan Negeri Sembilan tidak terjejas - Anwar

LocalPolitics
28 Nov 2026 • 3:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan pastikan projek pembangunan Negeri Sembilan tidak terjejas - Anwar
Anwar Ibrahim berucap pada Program Yakin MADANI 2026 Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi hari ini. - Foto: Bernama

SEREMBAN - Kerajaan akan meneruskan program dan projek pembangunan yang dirancang di Negeri Sembilan bagi memastikan kepentingan rakyat tidak terjejas, meskipun negeri itu berdepan ketidaktentuan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengarahkan kementerian berkaitan supaya tidak menangguhkan pelaksanaan projek yang telah dipersetujui dan diluluskan sebelum ini.

"Untuk Negeri Sembilan ini seperti kita tahu laluan Seremban-Kuala Pilah dengan peruntukan setakat ini RM180 juta yang lama diluluskan, dan kita minta disegerakan untuk disempurnakan dengan memberikan kemudahan kepada rakyat.

"Projek perumahan mampu milik kita teruskan dengan tambahan RM12 juta selain program Pesona Negeri Sembilan. Selain itu, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) termasuk empat projek baharu di Negeri Sembilan, iaitu RTB di Sungai Linggi, Sungai Gemencheh, Sungai Jimah Fasa Dua dan Sungai Si Rusa, Port Dickson,” kata beliau di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Yakin MADANI yang bertemakan "Memaknai Harapan Rakyat” di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini, yang turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr Awaludin Said.

Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan bahawa perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penyebab program pembangunan dan kebajikan rakyat terhenti.

"Sebab itu, saya telah beritahu kementerian dan kerajaan negeri supaya jangan menangguhkan program ini (Yakin MADANI) kerana apa pun pertentangan, ia tidak boleh mengorbankan kepentingan rakyat dan sebagainya,” kata beliau.

Anwar turut mengingatkan semua pihak bahawa tanggungjawab membangunkan negara dan menjaga kepentingan rakyat bukan hanya terletak pada bahu pemimpin politik semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama daripada seluruh lapisan masyarakat.

Beliau berkata, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing dengan penuh amanah bagi memastikan segala dasar dan program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan. - Bernama

 

 

:

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved