Kerajaan Perak sedia RM3.7 juta subsidi jualan murah

LocalBusiness & Finance
4 May 2026 • 1:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan Perak sedia RM3.7 juta subsidi jualan murah
Saarani (dua dari kiri) turut mengumumkan harga istimewa kepada pengunjung sempena pelancaran Pasar Sejahtera Rakyat Perak di pekarangan Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian di sini pada Isnin.
Image from: Kerajaan Perak sedia RM3.7 juta subsidi jualan murah
Saarani (tiga dari kiri) melancarkan Pasar Sejahtera Rakyat Perak di pekarangan Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian di sini pada Isnin.

PARIT BUNTAR – Kerajaan Perak memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta bagi pelaksanaan inisiatif jualan bersubsidi menerusi Pasar Sejahtera Rakyat Perak tahun ini sebagai langkah membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup susulan krisis tenaga global.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif tersebut merupakan antara langkah di bawah Fasa 1 Langkah Mitigasi Impak Krisis Asia Barat Negeri Perak bagi tempoh April hingga Jun 2026.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Pasar Sejahtera Rakyat Perak yang dikendalikan oleh Pejabat Daerah dan Tanah di semua daerah dengan penganjuran secara berkala setiap bulan.

"Pasar Sejahtera Rakyat Perak berperanan sebagai payung subsidi kerajaan negeri yang menawarkan barangan keperluan asas termasuk barangan kering dan basah pada harga sekurang-kurangnya lima peratus lebih rendah berbanding pasaran setempat.

"Pelaksanaan program ini diselaraskan melalui Pejabat Daerah dan Tanah serta diperluas ke kesemua kawasan Dewan Negeri bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita.

**media[3510074]**

Beliau berkata demikian selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Siri Ketiga Tahun 2026 di Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian di sini pada Isnin.

Sementara itu, Saarani berkata, menerusi inisiatif itu sebanyak RM1.2 juta lagi disalurkan bagi menjayakan Jualan Sejahtera Rakyat di kesemua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi kerjasama Yayasan Bina Upaya bersama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC).

"Kerajaan negeri turut menyediakan RM400,000 bagi pelaksanaan Jualan Sejahtera Rahmah melalui Program Jelajah Sejahtera Desaku yang memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar terpilih.

"Baki RM100,000 pula diperuntukkan bagi Jualan Koperasi Perak Sejahtera yang melibatkan penyertaan koperasi tempatan dengan sasaran memberi manfaat kepada lebih 1,000 keluarga," katanya.

Saarani berkata, pelaksanaan program tersebut diselaraskan melalui Pejabat Daerah dan Tanah serta diperluas ke semua kawasan DUN bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Program Mesra HBP Siri Ketiga Tahun 2026 yang berlangsung di Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian menjadi platform penting bagi kerajaan negeri mendekati rakyat serta menyelesaikan isu secara langsung.

Katanya, program itu melibatkan pelbagai kaunter khidmat pelanggan daripada jabatan dan agensi kerajaan negeri termasuk kaunter bergerak bagi memperluas capaian perkhidmatan kepada orang ramai.

"Bagi siri ketiga ini, sejumlah 140 aduan baharu telah direkodkan melibatkan pelbagai isu rakyat. Secara keseluruhan, sebanyak 460 aduan telah diterima setakat ini, dengan 388 aduan berjaya diselesaikan, manakala baki 72 aduan (16 peratus) sedang dalam tindakan lanjut oleh pihak berkaitan.

“Program ini membolehkan rakyat menyuarakan aduan serta mendapatkan penyelesaian segera terhadap isu yang dihadapi, selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Terdahulu, Saarani turut menyaksikan sesi penyerahan kunci Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian bernilai RM42.5 juta yang dijangka menjadi pusat sehenti pentadbiran moden dan efisien.

Menurutnya, kemudahan tersebut bakal memperkukuh infrastruktur pentadbiran negeri sekali gus meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih responsif serta berfokuskan rakyat.