KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memperkukuh ekosistem mesra keluarga bagi memastikan golongan muda mempunyai peluang dan sokongan yang lebih baik untuk berkahwin, membina keluarga serta memiliki zuriat, selaras dengan aspirasi mereka dan keperluan pembangunan negara. Perkara itu ditegaskan oleh YBhg. Dato Sri Rohani Abdul Karim, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ketika menyempurnakan Sambutan Hari Penduduk Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026, mewakili YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Beliau berkata, walaupun kadar kesuburan dunia terus menunjukkan trend penurunan, hakikatnya golongan muda masih meletakkan institusi keluarga sebagai cita-cita utama kehidupan mereka. "Golongan muda tidak menolak perkahwinan atau keibubapaan. Mereka masih mengimpikan sebuah keluarga, tetapi berdepan cabaran ekonomi, pekerjaan, kos sara hidup, perumahan dan kesuburan yang menyukarkan impian itu direalisasikan. Tanggungjawab kerajaan ialah mewujudkan persekitaran yang membolehkan aspirasi tersebut menjadi kenyataan."
Tambah beliau, dapatan UNFPA Demographic Futures Survey 2026 melibatkan lebih 100,000 responden di 73 negara mendapati hampir 90 peratus golongan muda masih mahu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak, manakala lebih dua pertiga berhasrat untuk berkahwin atau hidup bersama pasangan. Trend yang sama turut berlaku di Malaysia apabila Kaji Selidik Persepsi Awam LPPKN mendapati 90.9 peratus responden bujang berhasrat untuk berkahwin, manakala 91.1 peratus mahu memiliki anak pada masa hadapan.
Dalam kalangan pasangan yang telah berkahwin pula, 33.8 peratus masih berhasrat menambah cahaya mata dengan purata saiz keluarga yang diingini ialah 2.8 orang anak. Namun begitu, 17.6 peratus responden mengakui mereka gagal mencapai bilangan anak yang diinginkan akibat kekangan pendapatan isi rumah, peningkatan kos sara hidup, tekanan pekerjaan, masalah kesuburan dan faktor kesihatan. Justeru, dapatan ini membuktikan cabaran sebenar bukanlah perubahan nilai masyarakat terhadap institusi keluarga, sebaliknya jurang antara impian dan kemampuan.
Bagi menangani cabaran tersebut, kerajaan terus memperkukuh pelaksanaan Dasar KASIH Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara 2026–2030 yang memberi fokus kepada pemerkasaan institusi keluarga sepanjang kitaran kehidupan. Melalui LPPKN, pelbagai inisiatif telah diperkasakan termasuk Program SMARTSTART, pendidikan kekeluargaan, kaunseling perkahwinan dan keluarga, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, perkhidmatan Klinik Nur Sejahtera, rawatan subfertiliti serta Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) bagi membantu pasangan yang memerlukan rawatan kesuburan.
Usai majlis perasmian, program diteruskan dengan Forum Kependudukan bertemakan "Membina Keluarga Masa Hadapan: Realiti, Harapan dan Perspektif Rentas Generasi". Forum ini menampilkan barisan ahli panel terdiri daripada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN, Encik Hairil Fadzly Md. Akir; Setiausaha Agung Asian Forum of Parliamentarians on Population and Development (AFPPD), Tuan Howard Lee Chuan How; Penasihat Malaysia Youth Diplomacy (MyDiplomacy), Encik Azman 'Azhim Roslan serta Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Syarifah Fatimah Al-Zahrah Al-Attas. Forum yang sarat dengan perkongsian ini dikendalikan oleh Puan Tehmina Kaoosji selaku moderator. Sambutan turut diisi dengan pembentangan 20 hasil Geran Penyelidikan LPPKN 2025, pelaksanaan Showcase Research-to-Development (R2D) serta pelancaran Buku Kompilasi Hasil Geran Penyelidikan LPPKN 2025.
Untuk makluman, Sambutan Hari Penduduk Sedunia disambut setiap tahun pada 11 Julai bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu kependudukan, pembangunan mampan, kesihatan reproduktif serta kesejahteraan keluarga sejajar dengan agenda pembangunan global.
Majlis ini turut dihadiri YBrs. Puan Juwairiya Zulkifli, Timbalan Pengerusi LPPKN, YBhg. Dr. Julitta Onabanjo, Perwakilan United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia dan YBrs. Prof. Madya Dr. ChM Noraini Ahmad, Pengarah Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (UMCares).





