
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil langkah awal bagi memastikan semua pihak berada dalam keadaan bersedia menghadapi Monsun Timur Laut walaupun laporan awal menunjukkan kesannya dijangka lebih ringan tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan kesiapsiagaan perlu dilaksanakan melalui koordinasi menyeluruh antara semua agensi bagi memastikan nyawa, harta benda serta dokumen penting dapat diselamatkan sekiranya berlaku bencana.
Beliau menyatakan di negara ASEAN kini terdapat 6,000 peristiwa bencana besar dan kecil yang memerlukan persiapan rapi.
“Monsun Timur Laut telah mula sampai di sebelah utara negara ASEAN dan luruan angin pula akan turun ke Semenanjung dan pantai barat Sarawak dan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program SME Venture @ ASEAN 2025 di MITEC.
Ahmad Zahid berkata beliau sendiri telah turun padang meninjau persiapan menghadapi musim monsun di Temerloh, Pahang pada Isnin lepas bagi memastikan aspek kesiapsiagaan semua agensi terlibat berada pada tahap optimum.
Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah melaksanakan sistem amaran awal bagi memastikan proses pemindahan penduduk dapat dilakukan lebih awal sebelum paras air meningkat.
Untuk jangka panjang, kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion tahun depan untuk menangani isu banjir di seluruh negara termasuk RM460 juta kepada NADMA bagi memperkukuh pengurusan bencana.
“Yang penting bukan banyak atau sedikit tetapi keberkesanan pelaksanaannya iaitu apa yang dilakukan oleh kerajaan dan juga penerimaan masyarakat,” katanya.
Ahmad Zahid turut menggesa penduduk di kawasan berisiko tinggi atau red spot supaya bekerjasama dengan NADMA, jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah dalam usaha memobilisasi tindakan menyelamat dan bantuan di kawasan terjejas. – Bernama




