
KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) memerlukan akses kepada minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang membincangkan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi menyediakan hujah pembelaan kerajaan berhubung kes permohonan tahanan rumah beliau.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dokumen berkenaan perlu dinyahklasifikasikan terlebih dahulu kerana mengandungi butiran penting mengenai perbincangan dan pertimbangan ahli lembaga dalam mesyuarat tersebut.
Menurutnya, maklumat itu diperlukan bagi melengkapkan afidavit jawapan yang akan dikemukakan kerajaan susulan permohonan semakan kehakiman berhubung isu tahanan rumah Najib.
“AGC perlu mengemukakan jawapan melalui afidavit susulan cabaran yang dikemukakan pihak peguam berhubung isu tahanan rumah menerusi permohonan semakan kehakiman.
“Justeru, dokumen berkenaan perlu dinyahklasifikasikan terlebih dahulu bagi membolehkan Peguam Negara menyediakan afidavit jawapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri PDRM Fun Run 2026 di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, penyahklasifikasian dokumen itu diperlukan memandangkan prosiding mahkamah sudah bermula dan kerajaan perlu memberikan penjelasan menyeluruh berdasarkan perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan berkenaan.
Sebelum ini, beberapa laporan media memetik kandungan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang didakwa telah dinyahklasifikasikan.
Dokumen itu dilaporkan menunjukkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, membantah cadangan supaya Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, turut berkongsi beberapa halaman dokumen didakwa merupakan minit mesyuarat berkenaan di Facebook, termasuk bahagian yang memperincikan pendirian Peguam Negara.
Pendedahan itu bagaimanapun mengundang kritikan, selain mencetuskan persoalan mengenai penghormatan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong.
Mengulas lanjut, Saifuddin enggan mengulas sama ada minit mesyuarat berkenaan wajar didedahkan kepada umum, mahupun menjelaskan pihak yang bertanggungjawab menyebarkannya serta tujuan tindakan itu dilakukan.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.
“Saya tidak mempunyai penjelasan mengenai siapa yang mendedahkannya dan apa tujuan di sebalik tindakan tersebut. Kerajaan juga tidak berada dalam kedudukan untuk memberikan penjelasan mengenainya,” katanya. - Getaran, 22 November 2026






