GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas bagi membanteras jenayah penyeludupan hidupan liar yang disifatkan berakar umbi di negara ini.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, rampasan bahagian hidupan liar bernilai lebih RM36.8 juta di Johor baru-baru ini membuktikan aktiviti perdagangan haram itu masih aktif dan melibatkan rangkaian jenayah terancang.
Menurutnya, walaupun tindakan pantas pihak berkuasa wajar dipuji, namun rampasan berkenaan turut mendedahkan Malaysia masih menjadi hab dalam perdagangan hidupan liar global yang menguntungkan.
“Rampasan melibatkan bahagian harimau, hempedu beruang, hempedu ular sawa dan spesies dilindungi lain menunjukkan kegiatan ini bukan kes terpencil.
“Daripada kes penyu diselamatkan di Pulau Pinang hingga rampasan membabitkan tenggiling dan spesies terancam lain sebelum ini, jelas menunjukkan sindiket di sebalik kegiatan tersebut masih beroperasi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kegiatan pemerdagangan hidupan liar kini jauh lebih kompleks berbanding pemburuan haram berskala kecil pada masa lalu kerana didalangi sindiket yang menggunakan komunikasi sulit, rantaian bekalan kompleks dan rangkaian perantara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, unsur rasuah turut melemahkan penguatkuasaan sehingga menyebabkan dalang utama sukar diberkas.
Menurut Mohideen, tindakan penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi sekiranya ia tidak disusuli pendakwaan berjaya terhadap sindiket terlibat.
“Penangkapan tidak semestinya membawa kepada pendakwaan yang berjaya terutama membabitkan kes rentas sempadan dan penjejakan kewangan.
“Jika penalti ditangguhkan atau tidak dilaksanakan secara konsisten, ia akan mengurangkan kesan pencegahan dan memberi ruang kepada pengedar untuk terus beroperasi,” katanya.
Beliau berkata, setiap rampasan perlu dilihat sebagai petanda amaran terhadap skala besar aktiviti haram yang masih belum dapat dibanteras sepenuhnya.
Sehubungan itu, Mohideen menambah, kerajaan perlu meningkatkan pelaburan dalam teknologi pengawasan, alat forensik dan keupayaan risikan bagi membantu agensi penguatkuasaan menangani operasi jenayah yang semakin canggih.
"Walaupun negara mempunyai undang-undang seperti Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memperuntukkan hukuman berat, pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan dan kerjasama antarabangsa perlu diperkukuh.
“Jenayah hidupan liar perlu dilihat setanding dengan jenayah terancang lain berdasarkan keuntungan besar dan kerosakan ekologi yang dibawa,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, permintaan terhadap produk hidupan liar yang didorong kepercayaan terhadap nilai perubatannya turut menjadi faktor utama perdagangan haram berkenaan terus berlaku.
"Usaha pendidikan awam, kawalan lebih ketat terhadap pasaran dalam talian serta hukuman lebih berat perlu dilaksanakan bagi mengekang permintaan tersebut.
"Masyarakat mempunyai peranan penting dengan melaporkan aktiviti mencurigakan dan menolak penggunaan produk hidupan liar namun usaha itu perlu disokong tindakan tegas pihak berkuasa.
“Ukuran sebenar kejayaan bukan sekadar rampasan dilakukan tetapi sama ada rangkaian jenayah itu berjaya dibongkar, dalangnya didakwa dan keuntungan haram mereka dilucutkan,” katanya.






