GEORGE TOWN - Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS Penang) menggesa kerajaan negeri supaya menghentikan sindrom penafian berhubung isu pencemaran Sungai Kereh di Kampung Selamat dan segera melaksanakan reformasi menyeluruh tadbir urus sungai berasaskan bukti saintifik serta penguatkuasaan lebih tegas.
Pengerusinya, Zikrullah Ismail berkata, perbincangan mengenai pencemaran sungai itu tidak seharusnya terus terperangkap dalam naratif defensif yang disifatkan berisiko mengelirukan masyarakat mengenai tahap sebenar pencemaran yang berlaku.
Menurutnya, sejak 2020, pihaknya secara konsisten melihat naratif sama diulang bahawa isu pencemaran Sungai Kereh tidak sepatutnya dikaitkan secara utama dengan aktiviti penternakan babi.
“Walaupun pelbagai faktor penyumbang boleh wujud dalam mana-mana sistem sungai, persoalan lebih penting ialah magnitud relatif, beban pencemar serta impak alam sekitar jangka panjang daripada sumber pelepasan tertentu.
“Dapatan saintifik, pemerhatian bebas dan hasil siasatan penguatkuasaan semakin mengesahkan kebimbangan yang telah lama dibangkitkan komuniti terjejas serta pihak berkepentingan alam sekitar mengenai sumbangan signifikan aliran pelepasan sisa ternakan terhadap kemerosotan Sungai Kereh,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata, LEKAS Penang mengiktiraf cabaran operasi yang dihadapi agensi penguatkuasaan termasuk kekangan tenaga kerja dan logistik seperti dibangkitkan pihak berkuasa sebelum ini.
Justeru, katanya, LEKAS Penang menyokong usaha memperkukuh kapasiti institusi termasuk penambahan anggota Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta sumber teknikal penguatkuasaan yang mencukupi.
Bagaimanapun, menurut Zikrullah, penambahan tenaga kerja semata-mata tidak memadai tanpa penambahbaikan menyeluruh terhadap kerangka regulatori dan penguatkuasaan sedia ada.
“Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah memperkukuh enakmen sedia ada termasuk memasukkan parameter pencemaran yang lebih relevan secara saintifik seperti ammoniacal nitrogen (AN/NH3-N) selain standard prestasi alam sekitar yang lebih jelas serta mekanisme akauntabiliti pelepasan pencemar,” ujarnya.
Tambah beliau, Pulau Pinang juga perlu meneliti pendekatan tadbir urus sungai yang lebih kukuh seperti dilaksanakan di negeri lain termasuk peranan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam mengawal sumber air dan kualiti sungai.
“Dalam jangka panjang, Pulau Pinang perlu mempertimbangkan untuk memodenkan enakmen dan kerangka regulatori berkaitan sumber air, pengurusan lembangan sungai serta tadbir urus kualiti air bagi menghadapi tekanan alam sekitar yang semakin kompleks akibat urbanisasi, perindustrian, pertanian dan aktiviti penternakan,” katanya.
Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye memaklumkan isu pencemaran Sungai Kereh di Kampung Selamat dan kawasan sekitar Seberang Perai Utara bukan hanya berpunca daripada aktiviti penternakan babi sebaliknya melibatkan pelbagai faktor lain termasuk sistem perparitan, aktiviti pertanian serta pelepasan sisa daripada pelbagai sumber.
Katanya, kerajaan negeri mengakui pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan bagi menangani masalah berlarutan itu yang telah lama menjejaskan kualiti hidup penduduk setempat.
Menurutnya, isu pencemaran yang dibangkitkan di kawasan berkenaan memerlukan kerjasama pelbagai agensi bagi mengenal pasti punca sebenar dan melaksanakan tindakan pembetulan secara bersepadu.






