Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Bagi korang yang sedang bekerja atau menetap di luar negara, pernah tak rasa teringin nak pulang dan berkhidmat di tanah air, tapi niat itu terbatal bila fikirkan urusan birokrasi yang rumit?
Proses permohonan yang mengambil masa berbulan-bulan selalunya menjadi punca utama ramai bakat tempatan memilih untuk terus kekal di luar negara.
Memahami situasi ini, Kerajaan Malaysia kini mengambil langkah proaktif untuk memudah cara kepulangan rakyat Malaysia di perantauan.
Kita Nak Memudahkan, Bukan Menyusahkan!
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, secara terbuka menegaskan pihak Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mahu memudahkan segala urusan kepada anak tempatan yang berhasrat pulang ke tanah air.
Beliau berkata usaha menarik bakat luar negara tidak akan berkesan sekiranya proses permohonan terlalu menyusahkan hingga menyebabkan ramai memilih untuk terus kekal di perantauan.
“Kalau kita mahu bakat Malaysia pulang, kita mesti memudahkan, bukan menyusahkan. Kita berada di sini untuk memberi kemudahan, bukan untuk merumitkan.
“Sebab kita tidak boleh kata kepada mereka, ‘Baliklah ke Malaysia’, tetapi apabila mereka mahu balik, prosesnya terlalu rumit sehingga akhirnya mereka kata, ‘Tak apalah. Saya duduk saja di Jakarta.’ Itu yang kita tidak mahu.”
Tempoh Kelulusan Dipendekkan, Tak Perlu Tunggu Sampai Setengah Tahun!
Dalam pada itu, berita gembira buat korang yang nak mohon Program Kepulangan Pakar (REP) kendalian TalentCorp, kerjasama bersama Jabatan Imigresen Malaysia telah membolehkan tempoh pemprosesan Permit Masuk kini dipendekkan.
Jika sebelum ini permohonan mengambil masa sehingga 6 bulan, kini ia disasarkan siap dalam masa 4 bulan atau kurang.
Bukan itu sahaja, kerajaan juga faham yang keputusan nak balik kampung ni bukan main terjah macam nak beli tiket wayang. Ada banyak benda nak kena fikirkan!
“Keputusan untuk pulang bukan semudah membeli tiket kapal terbang. Ada kerjaya yang perlu dipertimbangkan. Kadang-kadang ada pasangan, sama ada isteri, suami, teman wanita ataupun teman lelaki.
“ Ada yang mempunyai anak-anak yang ada persekolahan. Sebab itu apabila bercakap tentang membawa pulang bakat Malaysia, kita tidak boleh hanya melihat kepada individu berkenaan, kita perlu melihat kepada keluarganya juga.”
400,000 Peluang Pekerjaan Menanti!
Kalau korang risau balik Malaysia nanti tak tahu nak kerja apa, jawapannya ada dekat portal MYFutureJobs di bawah PERKESO. Ada lebih daripada 400,000 peluang pekerjaan yang sedia untuk dimohon! Korang cuma perlu buat permohonan REP melalui platform dalam talian rasmi ini.
Korang yang ada dekat luar negara tu, ada plan nak balik tabur bakti kat Malaysia tak lepas ni?
