
KUALA LUMPUR - Pembentukan Kerajaan Perpaduan ternyata mampu memberikan kestabilan yang amat diperlukan, selepas sekian lama negara dibelenggu pergolakan politik.
Senario ini membolehkan jentera pentadbiran memberi tumpuan penuh kepada pelbagai pembaharuan ekonomi yang amat kritikal, demi pembangunan negara secara lebih agresif.
Pengarah Urusan Neutrino Media, Aidi Amin berkata, Malaysia ketika ini berdepan cabaran pemberian subsidi menyeluruh yang tidak mampan, mencecah kira-kira RM80 bilion setiap tahun.
Menurut beliau, usaha menangani perkara itu memerlukan perubahan asas daripada subsidi populis yang meluas, kepada intervensi berasaskan data untuk melindungi golongan terdedah sambil menguatkuasakan disiplin fiskal.
"Kerajaan Madani tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan pembaharuan struktur yang tidak popular tetapi perlu," katanya.
Tegas Aidi, antara inisiatif paling berjaya ialah mekanisme subsidi bahan api Budi Madani RON95 (Budi95), yang telah memberi manfaat kepada kira-kira 14.6 juta rakyat Malaysia.
"Subsidi RON95 yang disasarkan di bawah inisiatif Budi95 dijangka menjana penjimatan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion pada tahun 2026.
"Satu lagi inisiatif yang berjaya dilaksanakan di bawah kerajaan Madani ialah Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang memberi manfaat kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia," katanya.
Katanya, antara sorotan terbesar ialah kekuatan Ringgit yang baru muncul sebagai salah satu mata wang berprestasi terbaik Asia berbanding AS$.
Ini katanya, banyak memulihkan keyakinan pelabur dan kejayaan Malaysia baru-baru ini sebagai pengerusi ASEAN sekali lagi telah meletakkan negara ini dalam perhatian global.
"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan Madani telah memecahkan tradisi selama beberapa dekad untuk melaksanakan pembaharuan yang perlu, tetapi tidak popular, menjamin kesihatan fiskal negara dalam jangka panjang.
"Bantuan penting termasuk wang tunai untuk golongan memerlukan kekal menjadi keutamaan Kerajaan Madani, hasil daripada setiap RM yang berjaya dijimatkan,” katanya.
Katanya, Kerajaan Madani juga berjaya membuktikan disiplin fiskal dan keadilan sosial bukanlah kuasa yang bertentangan.
"Perdana Menteri dan jenteranya berhasil membuktikan kepada rakyat bahawa dua aspek tersebut ialah tonggak pelengkap bagi Malaysia yang moden dan berdaya tahan,” katanya. - Getaran, 14 Februari 2026

