KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan sentiasa agresif menerima maklum balas daripada kerajaan negeri dalam merancang pembangunan negara, agar setiap projek benar-benar nenepati keperluan rakyat.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan berasaskan rundingan ini adalah satu anjakan penting daripada kebiasaan sebelum ini.
Menurut beliau, pentadbiran terdahulu lebih banyak bergantung pada andaian pihak Persekutuan dalam membentuk kerangka pembangunan negara.
“Kerjasama yang lebih rapat antara kerajaan Persekutuan dan negeri membolehkan setiap perancangan disesuaikan dengan realiti setempat, termasuk di Johor, yang kini muncul sebagai salah satu penyumbang ekonomi terbesar negara.
“Johor terus menunjukkan prestasi pelaburan yang mengagumkan dengan nilai pelaburan dianggarkan berpotensi melebihi RM100 bilion, satu pencapaian yang dianggap sebagai rekod baharu bagi negeri ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian sewaktu berucap pada Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen KTMB Kempas Baru, Johor hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peningkatan tersebut mencerminkan keyakinan pelabur asing dan domestik terhadap kestabilan ekonomi negara serta hala tuju pembangunan yang lebih tersusun di bawah Kerajaan Madani.
Dalam ucapan itu, beliau turut menekankan keperluan membangunkan rangkaian pengangkutan moden, termasuk pelbagai inisiatif pengangkutan elektrik baharu yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat.
Jelasnya, usaha menaik taraf infrastruktur bukan sekadar pembinaan projek rel semata-mata, sebaliknya melibatkan pelan pembangunan bersepadu merangkumi hab ekonomi, kawasan komersial, medan selera, perumahan dan pelbagai kemudahan komuniti di setiap stesen.
“Setiap stesen baharu akan dibangunkan secara strategik bagi mewujudkan zon pertumbuhan baharu, merangsang aktiviti ekonomi serta memperluas peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Perdana Menteri berkata, model pembangunan berasaskan rangkaian pengangkutan atau pembangunan berorientasikan transit (TOD) itu bakal menjadi salah satu tonggak utama pembaharuan ekonomi negara pada tahun-tahun mendatang.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama Malaysia–Singapura melalui Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) akan terus diperkukuh bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi.
Katanya, hubungan ekonomi dua hala antara kedua-dua negara kini berada pada tahap paling kukuh, dengan Johor dijangka meraih faedah besar terutamanya dalam sektor teknologi, logistik, pembuatan pintar dan tenaga baharu.
“Ekonomi Madani menuntut pembangunan yang bukan sahaja besar dari segi skala, tetapi turut memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat di semua peringkat,” katanya. - Getaran, 11 Disember 2025


