
TAWAU: Kerajaan Negeri disaran membina projek rumah kos rendah sendiri berkonsepkan flat serupa dengan Program Perumahan Rakyat (PPR), berbanding sekadar menunggu pelaksanaan baharu Program Residensi Rakyat (PRR) yang berkonsepkan pangsapuri mampu milik oleh Kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Persekutuan memperuntukkan 15,000 unit rumah PRR bagi Sabah, dengan 5,000 unit masing-masing di Tawau, Sandakan dan Pantai Barat.
“Kerajaan Negeri ada memohon PRR daripada Kerajaan Persekutuan, tetapi melibatkan bilangan unit rumah yang jauh lebih besar berbanding jumlah yang diperuntukkan. Jadi kenapa kita tidak buat PPR sendiri sementara menunggu PRR ini dilaksanakan di Sabah?“Saya merayu Kerajaan Negeri mengambil inisiatif sendiri, misalnya mewujudkan kerjasama dengan pihak pemaju swasta melalui penawaran pertukaran tanah mengikut nilai sama atau pembiayaan pinjaman pembangunan projek,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Aktiviti Air dan Program Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti Bandar Sri Indah (BSI) Peringkat Zon Tawau di sini, pada Ahad.
Beliau percaya langkah itu dapat menangani isu kekurangan perumahan kos rendah dan tanggungan kerugian jutaan ringgit setiap kali berlakunya kebakaran besar, terutama di kawasan penempatan setinggan.
“Kalau kita lambat membangunkan projek perumahan ini, dikhuatiri lagi banyak masalah akan timbul, termasuk kerugian harta benda apabila penduduk kehilangan tempat tinggal dan risiko lebih banyak nyawa terkorban.
“Kelulusan PRR memakan masa dan kita tidak boleh menunggu terlalu lama disebabkan wujud keperluan mendesak untuk penyediaan fasiliti perumahan kos rendah disegerakan, termasuk di Tawau,” katanya.
Menurutnya, Tawau merekodkan penempatan setinggan terbanyak di negara ini sekali gus menjadi salah satu zon berisiko tinggi berlaku kebakaran besar sehingga memusnahkan harta benda dan kehilangan nyawa.
Statistik semasa juga menunjukkan terdapat seramai lebih 200,000 orang yang dikesan mendiami penempatan setinggan di Tawau, yang rata-ratanya tertumpu antara Batu 4 Jalan Apas sehingga Tanjung Batu.
Menyentuh kempen yang diadakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dengan pihak pemaju di BSI, Lo memuji inisiatif terbabit penting dalam konteks keselamatan rakyat dan kesiapsiagaan awam.
“Langkah proaktif JBPM dan pemaju dalam persediaan langkah awal menangani kebakaran melalui penubuhan Pasukan Bomba Komuniti untuk perumahan setempat ini satu langkah strategik memperkasakan komuniti sebagai barisan pertama.
“Ini khususnya penting untuk menghulurkan bantuan awal sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi kecemasan serta menjadi mata dan telinga yang penting bagi pihak bomba dalam menangani insiden di peringkat akar umbi,” katanya.
Sabah, yang memiliki 39 projek PPR, muncul pemegang rekod paling banyak di seluruh negara. Bagaimanapun, program itu sudah dihentikan susulan langkah penjenamaannya semula yang diubah kepada PRR bermula Sept 2024.
Sehingga kini, Sabah masih menunggu keputusan Kerajaan Madani memasukkan projek pertama PRR ke negeri ini, yang dikatakan menawarkan reka bentuk rumah mampu milik lebih moden, berkualiti dan lestari kepada rakyat berbanding PPR.



