Kerajaan pertimbang peraturan lebih ketat kawal lambakan produk e-dagang asing

LocalPolitics
25 Nov 2026 • 11:20 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan pertimbang peraturan lebih ketat kawal lambakan produk e-dagang asing

PETALING JAYA: Kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan peraturan lebih ketat bagi mengawal lambakan barangan murah menerusi platform e-dagang antarabangsa khususnya dari China, dalam usaha melindungi daya saing usahawan tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lambakan produk asing bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi makro negara malah menjejaskan kelangsungan perniagaan usahawan tempatan.

“Jadi saya setuju dan saya fikir kita harus memperkenalkan beberapa peraturan lebih ketat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri: ‘Di Sebalik Keputusan…’ yang disiarkan serentak menerusi­ Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan beberapa saluran media tem­patan lain malam ini.

Anwar menjawab soalan pengasas Chunk & Dunk, Adam Shamil mengenai pendekatan kerajaan dalam mengimbangi persaingan daripada barangan murah yang ditawarkan menerusi platform e-dagang antarabangsa seperti Pinduoduo dan Temu bagi memastikan usahawan serta jenama tempatan tidak terjejas.

Bagaimanapun, Anwar berkata, kerajaan tidak berhasrat menyekat sepenuhnya kemasukan platform berkenaan, sebaliknya mahu memastikan produk yang dijual memenuhi aspek kualiti, keselamatan kesihatan dan status halal.

“Jadi, sebab itu kita mula sekarang memberikan beberapa sekatan. Kita akan bagi peluang mereka masuk dengan syarat ada syarikat tempatan yang bersama ataupun dengan jaminan mutunya, kesihatannya dan juga kalau dia sebut halal mesti dijamin halal,” katanya.

Menurut Anwar, perkara itu turut dibangkitkan kepada kepimpinan China dalam beberapa siri lawatan beliau ke negara berkenaan.

Katanya, Presiden China, Xi Jinping turut menyatakan kesediaan negara itu membuka lebih banyak ruang bagi meningkatkan eksport barangan dari Malaysia.

“Kita tidak bertujuan untuk menyekat tetapi yang kita mahu pelaburan dan perdagangan, bukan lambakan barang yang murah… dan ini membunuh beberapa syarikat kecil di lapangan.

“Jadi kita sudah bersetuju dalam Jemaah Menteri untuk mengambil langkah-langkah mengekang sedikit dan tidak menyekat sama sekali kerana ini bertentangan dengan dasar (perdagangan) kita untuk membolehkan import yang bertambah,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan iklan dan tawaran barangan murah yang belum terjamin kualitinya.

Katanya, pemasaran secara meluas boleh mendorong pengguna membeli barangan yang tidak diperlukan.

Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu mempertingkat pemantauan terhadap iklan, memastikan mutu barangan terjamin serta memperkukuh pendidikan pengguna supaya masyarakat berbelanja mengikut keperluan dan tidak melebihi kemampuan. – UTUSAN

The post Kerajaan pertimbang peraturan lebih ketat kawal lambakan produk e-dagang asing appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved