hamden23/10/2026 - 09:13 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt - Kerajaan menyediakan peruntukan RM1 bilion kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) pada 2027 bagi tujuan penebusan awal sukuk, sekali gus memperkukuh aliran tunai Lembaga Tabung Haji (LTH).
Komitmen itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Kewangan (MOF) untuk membantu UJSB memenuhi obligasinya kepada LTH, di samping melaksanakan pemulihan aset secara berhemat.
MOF memaklumkan, peruntukan bagi penebusan awal sukuk akan terus disediakan tertakluk kepada kedudukan kewangan Kerajaan.
"Sebelum ini, peruntukan berkenaan tidak dapat disediakan seperti yang dirancang berikutan Kerajaan perlu mengutamakan perbelanjaan bagi menangani pandemik COVID-19," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai nilai aset bersih, jumlah liabiliti dan kerugian terkumpul UJSB berdasarkan penyata kewangan terkini serta nilai semasa aset yang dipindahkan daripada Tabung Haji dan sama ada UJSB berkeupayaan memenuhi obligasi sukuk tanpa sokongan kewangan tambahan Kerajaan.
Milik MOF Inc
Menjelas lanjut, kementerian itu berkata, UJSB, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, ditubuhkan bagi membantu memulihkan kedudukan kewangan LTH menerusi pengambilalihan dan pemulihan aset yang tidak berdaya saing.
Pada 2018, UJSB mengambil alih aset LTH bernilai RM9.7 bilion pada harga RM19.9 bilion. Perbezaan RM10.2 bilion merupakan premium yang diberikan kepada LTH bagi membantu pemulihan kewangannya.
Bagaimanapun, premium berkenaan menjadi beban kerugian kepada UJSB menerusi rosot nilai aset. Kos keuntungan sukuk yang terakru kepada LTH turut menyumbang kepada kerugian terkumpul syarikat itu.
Ini kerana kos sukuk yang ditanggung UJSB merupakan pendapatan keuntungan terakru kepada LTH.
Kedua-dua komponen itu menjadi penyumbang utama kepada kerugian terkumpul UJSB sebanyak RM13.20 bilion pada akhir 2025.
Bagaimanapun, kerugian terkumpul itu perlu dibezakan daripada prestasi operasi syarikat berkenaan yang secara konsisten mencatatkan keuntungan sejak 2019.
Mencatat keuntungan operasi
Bagi tahun kewangan 2025, UJSB merekodkan keuntungan operasi sebanyak RM297 juta.
Nilai aset di bawah pengurusannya juga meningkat daripada RM9.7 bilion pada 2018 kepada RM11.61 bilion pada akhir 2025.
Selain itu, usaha pemulihan membolehkan syarikat perladangan yang kembali menjana keuntungan diserahkan semula kepada LTH pada harga lebih rendah berbanding harga pengambilalihan.
Melalui peruntukan RM1 bilion pada 2027 itu, Kerajaan meneruskan komitmennya untuk menyokong UJSB memenuhi obligasi kepada LTH, selain memperkukuh aliran tunai institusi berkenaan menerusi penebusan awal sukuk. - DagangNews.com





