hamden22/10/2026 - 22:28 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt - Zetrix AI Berhad akan mengadakan perbincangan bersama pemegang sukuk pada Jumaat ini, 23 Oktober 2026, bagi membincangkan cadangan penyelesaian berhubung kemungkinan pelanggaran kontrak dalam program Sukuk Wakalah bernilai sehingga RM2 bilion.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, sehingga tarikh pengumuman, tiada kegagalan pembayaran berlaku di bawah program sukuk berkenaan.
Mesyuarat yang akan diadakan oleh pemegang amanah sukuk, Pacific Trustee Berhad, bertujuan membincangkan cadangan penyelesaian bagi menangani punca pelanggaran kontrak dalam surat ikatan amanah yang ditandatangani bersama pemegang sukuk.
Perkara itu berkaitan dengan pegangan saham pemegang saham utama syarikat.
Menurut Zetrix AI, mesyuarat berkenaan juga bertujuan memudah cara perbincangan secara konstruktif serta mendapatkan maklum balas daripada pemegang sukuk terhadap cadangan penyelesaian yang dikemukakan.
Maklum balas itu akan menjadi asas untuk merangka dan memuktamadkan aturan sewajarnya yang boleh diterima bersama oleh pihak-pihak berkaitan.
Zetrix AI turut menegaskan komitmennya untuk memenuhi obligasi pembayaran balik sukuk mengikut jadual yang dipersetujui, selain terus mengambil langkah yang diperlukan bagi menyokong komitmen kewangannya.
Syarikat itu juga akan terus berhubung dengan Pacific Trustee Berhad bagi menangani perkara berkenaan.
Zetrix AI berkata, pengumuman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat perkembangan material, selaras dengan obligasi pendedahan syarikat. - DagangNews.com






