Kerajaan peruntuk RM15 juta untuk industri kreatif negara

LocalEntertainment
24 Oct 2026 • 10:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kerajaan peruntuk RM15 juta untuk industri kreatif negara

PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukkan RM15 juta menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) bagi memperkukuh industri kreatif negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, dana di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu merangkumi enam kategori bagi membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri, termasuk bakat baharu dan artis veteran.

“Dana tersebut bertujuan membuka peluang lebih luas kepada bakat muda menerusi kategori seperti Dana First Time Amateur Filmmaker (FAME) selain memberi ruang kepada artis veteran melalui Dana Super Telefilem Artis Veteran (STAR).

“Kita juga mahu menggalakkan penghasilan kandungan baharu yang memenuhi keperluan pasaran digital masa kini, seperti mikro drama untuk platform OTT,” katanya ketika ditemui pada sidang media sempena malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 di hari ini.

Enam kategori yang ditawarkan ialah Dana Co-Pro Antarabangsa Filem Cereka/Cereka Animasi; Dana FAME; Dana Co-Pro Program TV Super Telefilem; Dana Co-Pro Mikro Drama Stesen Penyiar/Platform OTT; Dana STAR; dan Dana Penerbitan Pesanan Khidmat Awam (PSA) Kenegaraan.

Tambahnya, permohonan boleh dikemukakan secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) mulai 16 November ini.

Dalam pada itu, Fahmi menyifatkan penganjuran ASA edisi ke-37 sebagai pengiktirafan tertinggi kerajaan terhadap sumbangan seluruh warga industri penyiaran, termasuk mereka yang bertugas di hadapan dan di belakang tabir.

Ujar Fahmi, penganjuran anugerah yang diadakan setiap dua tahun itu sebagai platform untuk menilai perkembangan industri penyiaran serta memastikan kategori yang dipertandingkan kekal relevan dengan perubahan semasa.

“ASA diadakan dua tahun sekali, jadi sudah pasti banyak perkembangan dalam industri sepanjang tempoh tersebut.

“Seperti dana mikro drama yang diumumkan tadi, kita percaya bentuk hiburan baharu ini mungkin akan diambil kira dalam kategori ASA akan datang.

“Kementerian akan menilai semula setiap aspek teknikal dan kategori selepas edisi kali ini bagi memastikan anugerah berkenaan kekal relevan dalam memperkukuh identiti ekonomi kreatif negara,” katanya.

Terdahulu, ASA2026 mempertandingkan 60 kategori, termasuk dua anugerah khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa selain mengembalikan kategori Pengulas Radio Terbaik. – KOSMO! ONLINE

The post Kerajaan peruntuk RM15 juta untuk industri kreatif negara appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved