Kerajaan runding hantar pulang 5,000 pelarian Rohingya

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 6:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan runding hantar pulang 5,000 pelarian Rohingya

PUTRAJAYA: Kerajaan menerusi Wisma Putra akan mengadakan perbincangan bersama kerajaan Myanmar berhubung cadangan penghantaran pulang 5,000 pelarian etnik Ro­hingya ke negara itu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti terlebih dahulu, khususnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelarian terbabit tidak terancam sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Perkara ini sedang diteliti oleh Wisma Putra dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mana 5,000 orang pelarian Myanmar ini akan dikenal pasti. Tapi semestinya Malaysia sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab tidak akan menghantar pulang sekiranya 5,000 orang pelarian Myanmar ini akan sama ada dizalimi ataupun nyawa mereka akan terancam.

“Jadi, ada beberapa perkara yang kita akan teliti dahulu dalam perbincangan dengan kerajaan junta di Myanmar sebelum kita laksanakan,” kata­nya dalam sidang akhbar mingguan pasca Mesyuarat Kabinet di sini, semalam.

Pada 29 Julai lalu, media melaporkan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia, hasil rundingan diplomatik dan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu adalah satu langkah awal dalam menangani isu berkenaan, di samping bagi memastikan isu ketenteraman awam di Malaysia terus dapat dipelihara.

Menurutnya, persetujuan itu dicapai menerusi hubungan baik Malaysia dengan Myanmar, sekali gus membuktikan isu pelarian tidak boleh di­selesaikan hanya dengan gesaan supaya mereka dihantar pulang.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan junta Myanmar sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menerima 5,000 pelarian terbabit, namun kerajaan Malaysia perlu meneliti kriteria ditetapkan bagi memastikan penghantaran pulang itu bersesuaian.

“Apa yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri, 5,000 orang pelarian Myanmar ini yang pihak kerajaan junta di Myanmar sedia untuk menerima, tapi kita akan teliti apakah kriteria dan sekiranya sesuai, kita akan laksanakan.

“Tetapi Perdana Menteri mengambil maklum bahawa kita tidak boleh menghantar sekiranya nyawa mereka terancam. Jadi ada beberapa perkara yang sedang diteliti oleh pihak Wisma Putra terutamanya,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, sekurang-kurangnya 35 hingga 40 ahli Parlimen me­nyatakan kesediaan untuk membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) pada Sidang Khas Dewan Rakyat, 11 Ogos ini.

“Pada ketika ini, dianggarkan sekurang-kurangnya 35 ke 40 orang Ahli Parlimen telah me­nyatakan kesediaan dan minat untuk membahas isu tersebut.

“Kita boleh ikuti nanti siaran secara langsung dalam semua saluran media rasmi sepanjang sidang khas Dewan Rakyat,” katanya. – UTUSAN

The post Kerajaan runding hantar pulang 5,000 pelarian Rohingya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved