johardy06/05/2026 - 09:32 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Mei - Gamuda Bhd memaklumkan syarikat bersekutunya yang memiliki 45% pegangan, Upper Padas Power Sdn Bhd (UPPSB), telah menerima kelulusan semakan daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah bagi Projek Hidroelektrik Ulu Padas, yang kini dinaik taraf kepada projek tenaga hibrid menggabungkan hidro dan solar terapung.
Sabah Energy Corporation Sdn Bhd memegang 40% kepentingan dalam UPPSB, manakala Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd memiliki baki 15%.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata pelan baharu itu menggabungkan loji hidroelektrik berkapasiti 187.5 megawatt (MW) dengan tambahan kemudahan solar terapung berkapasiti 150MWac (megawatt arus ulang-alik).
Komponen hidro dijangka menjana 1,052 gigawatt jam (GWh) setahun, manakala bahagian solar pula menyumbang tambahan 300GWh.
“Penambahan hasil tenaga tahunan sebanyak 300GWh daripada kemudahan solar terapung itu secara signifikan meningkatkan asas penjanaan keseluruhan projek bersepadu ini. Justeru, ia mengukuhkan daya maju projek serta menambah baik profil pendapatan yang dijangka sebelum ini bagi Gamuda di bawah konsesi tersebut,” katanya.
Projek ini merupakan pembangunan hibrid tunggal dengan tempoh konsesi selama 40 tahun bagi loji hidro dan 25 tahun bagi kemudahan solar terapung. Apabila siap kelak, ia dijangka menjana lebih RM450 juta hasil tahunan.
ARTIKEL BERKAITAN: JV Gamuda raih kontrak RM5.98 bilion bina Fasa 1 Skim Bekalan Air Ulu Padas di Sabah
Projek Sudah Bermula 2025
Gamuda berkata kerja pembinaan utama telah bermula sejak 2025, dengan loji hidro dijadual siap menjelang 31 Disember 2030, manakala kemudahan solar terapung dijangka siap pada 31 Disember 2031. Perjanjian pembelian tenaga (PPA) pula dijangka dimuktamadkan menjelang akhir 2026.
Projek ini akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman, dengan nisbah hutang kepada ekuiti minimum 80:20.
Kumpulan itu menjangkakan projek berkenaan akan meningkatkan pendapatan jangka panjang serta aliran pendapatan berulang, di samping mengukuhkan portfolio tenaga boleh diperbaharui dan ESG. Ia tidak dijangka memberi sebarang kesan material terhadap modal saham atau struktur pemegang saham syarikat.
Dari segi penilaian, syarikat kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 25.8 kali, lebih tinggi berbanding kebanyakan rakan setara kecuali IJM Corporation Bhd yang mencatatkan 27.5 kali.
Nisbah harga kepada nilai aset bersih (P/NAV) Gamuda sebanyak 2.1 kali pula adalah lebih rendah berbanding kebanyakan rakan setara. - DagangNews.com






