KUALA TERENGGANU - Projek solar terapung hidro hibrid yang dibangunkan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dijangka mampu mengurangkan kebergantungan kerajaan negeri terhadap hasil royalti petroleum dalam jangka masa panjang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc (TI), Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, projek berskala besar itu merupakan langkah strategik syarikat pelaburan negeri berkenaan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negeri.
Menurutnya, menerusi fasa pertama projek tersebut, kerajaan negeri dijangka menerima hasil sekitar RM10 juta setiap tahun bermula 2028.
"Hasrat kita di TI adalah untuk memastikan projek ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kebergantungan kepada royalti tersebut.
"Walaupun ia mungkin memakan masa, sekurang-kurangnya sebagai permulaan, sekitar RM10 juta akan dibayar kepada kerajaan negeri setiap tahun daripada hasil projek ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sesi taklimat media berkaitan projek solar terapung dan pembangunan Hotel Pulau Poh di Wisma Terengganu Inc (TI), di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut mengenai perincian projek, beliau menjelaskan Fasa 1 melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM1.96 bilion dengan kapasiti penjanaan 600 megawatt (MW).
Katanya, projek itu turut dilengkapi Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 1.2 gigawatt jam (GWh) yang menggunakan aplikasi teknologi moden.
"Projek ini adalah usaha sama (JV) antara Terengganu Inc dan TNB Genco, di mana TI memegang 30 peratus ekuiti. Kita mahu memastikan anak syarikat GLC negeri mempunyai kepentingan dalam projek berimpak tinggi di negeri sendiri," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyasarkan Tasik Kenyir mampu menjana tenaga solar sehingga 2.5 gigawatt (GW) secara keseluruhan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dengan anggaran pelaburan mencecah RM10 bilion.
Ujar beliau, sekiranya sasaran 2.5GW itu dicapai dalam tempoh lima tahun, ia bakal meletakkan Terengganu sebagai lokasi projek solar terapung terbesar di dunia dan Asia Tenggara pada masa ini.
"Dari segi impak ekonomi, fasa pembinaan sahaja dijangka memerlukan kira-kira 5,000 pekerja dalam tempoh dua tahun, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat seperti pengusaha inap desa dan peniaga makanan.
"Malah, kita menetapkan sekurang-kurangnya 15 peratus daripada nilai kontrak RM2 bilion itu mengalir kepada vendor dan kontraktor tempatan Terengganu yang berdaftar," katanya.
Tambah beliau lagi, tenaga yang dijana juga bakal menyokong pembangunan Hab Hidrogen serta menarik pelabur pusat data (data center), selain berpotensi dijadikan produk pelancongan pendidikan (edupelancongan).
Projek yang dijangka siap sepenuhnya pada 2028 itu diunjurkan mampu menjana pendapatan jualan hasil solar mencecah RM6 bilion bagi tempoh 21 tahun untuk fasa pertama.





