
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah memandang serius tindakan polis memindahkan sembilan anggotanya yang dipercayai terlibat kes peras ugut ke Sabah dan Sarawak tanpa mendapat pandangan dari Kerajaan Negeri terlebih dahulu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, meminta supaya pihak polis memaklumkan dan berbincang dengan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum tindakan seumpama itu dilaksanakan.
“Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai satu prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan berkenaan terhadap anggota mereka,” katanya.
Hajiji yang sedang menunaikan ibadah Umrah juga berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada pihak polis mengenai perkara berkenaan.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) menuntut agar polis berhenti menggunakan Sabah sebagai tempat pembuangan pegawai mereka yang bermasalah.
Presiden Star Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dalam satu kenyataan di sini Rabu berkata rancangan untuk memindahkan sembilan pegawai polis yang disyaki memeras ugut seorang ahli perniagaan berhubung pemilikan narkotik adalah tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif.
“Ini mesti diperbetulkan segera. Sabah sudah pun menghadapi pelbagai ancaman keselamatan, seperti lanun, penculikan, dan kehadiran anggota kumpulan pengganas yang dikaitkan dengan ISIS, Abu Sayyaf.
“Namun, di sebalik semua masalah ini, polis berpendapat adalah idea yang baik untuk meletakkan polis yang bermasalah untuk ‘melindungi’ keselamatan kami.
“Ini adalah salah dan tidak boleh diterima, walaupun ia adalah sebahagian daripada prosedur tatatertib mereka,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan rasional membenarkan anggota polis meneruskan kerja walaupun mereka dalam siasatan jenayah.
Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata bukan satu rahsia lagi bahawa Sabah adalah destinasi kegemaran sistem keadilan negara untuk mengusir penjenayah tegar dari wilayah lain di Malaysia.
“Berhenti menggunakan Sabah dan Sarawak sebagai tempat pembuangan masalah di Tanah Melayu,” tegasnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
