Kerajaan Sabah rombak kepimpinan GLC

LocalPolitics
7 Dec 2025 • 5:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hajiji

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan memulakan proses penstrukturan semula secara menyeluruh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri itu melibatkan pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu satu keperluan pentadbiran untuk mengukuhkan tadbir urus korporat dan akauntabiliti, selain menyuntik kepimpinan baharu bagi meningkatkan prestasi serta memacu pencapaian matlamat Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

"Matlamat kita adalah untuk menjadikan GLC sebagai pemangkin ekonomi yang berkesan dan boleh dipercayai melalui pengurusan yang kompeten demi menjana nilai yang lebih besar kepada rakyat dan negeri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hajiji turut menekankan, keperluan pasukan kepimpinan yang dinamik, profesional dan berorientasikan hasil untuk mengemudi era baharu dipacu oleh pelaburan strategik, pendigitalan, tenaga baharu serta pembangunan sosial.

"Kita menghargai sumbangan kepimpinan terdahulu, namun rombakan adalah perlu bagi memastikan transformasi yang berkesan dan kesinambungan. 

"Keutamaan kita hanyalah untuk memastikan masa depan Sabah yang stabil, makmur dan terjamin selaras dengan aspirasi SMJ 2.0,” katanya. - Bernama