Pemuda Gagasan tolak BN sertai kerajaan Sabah -“Keputusan pengundi wajib dihormati”

LocalPolitics
1 Dec 2025 • 4:55 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) hari ini menegaskan pendirian mereka untuk menolak penyertaan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan presiden mereka, Hajiji Noor.

Pemuda Gagasan tekankan GRS & rakan-rakan parti sudah mencukupi

Menerusi kenyataan yang dibuat, Pemuda Gagasan menekankan bahawa GRS dan rakan-rakan parti sudah mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri dengan 29 kerusi GRS, lima Adun bebas, tiga dari Upko, satu PH, satu KDM serta dua Adun Star.

Tanpa penyertaan BN, kerajaan negeri juga semakin kukuh dengan tambahan enam Adun lantikan.

“Komposisi ahli yang berhormat dalam kerajaan GRS pada ketika ini adalah kukuh, stabil dan mencukupi untuk meneruskan agenda pembangunan negeri tanpa memerlukan sebarang penambahan daripada pihak yang ditolak rakyat.
Keputusan pengundi wajib dihormati. Rakyat Sabah telah memberikan isyarat yang jelas dengan menolak BN daripada berada dalam kerajaan negeri, dan sebarang cubaan untuk menafikan kehendak rakyat disifatkan tidak wajar,” kata kenyataan itu.

image is not available

Minta 2023 jadi pengajaran

Terdahulu, BN mengumumkan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji bagi memastikan kestabilan dan pembangunan.

Namun, Pemuda Gagasan mengingatkan pengalaman 2023 perlu dijadikan pengajaran.

“Tambahan pula, BN sendiri secara terbuka sebelum ini enggan bekerjasama dengan GRS, malah melancarkan serangan politik yang luar biasa terhadap GRS serta kepimpinan Hajiji.
“Maka, adalah tidak wajar kini mereka tampil dengan tuntutan untuk disertakan dalam kerajaan.
“Pemuda Gagasan menegaskan bahawa fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik, memperkukuh pentadbiran serta mempercepatkan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah, bukannya melayani percaturan politik yang tidak berlandaskan mandat rakyat,” tambah kenyataan itu lagi.

image is not available

Untuk rekod, GRS didaftarkan secara rasmi pada 11 Mac 2022 dan merangkumi Gagasan, Parti Cinta Sabah, Usno, dan Star.

BN Sabah pula kini diketuai Bung Moktar Radin dan mempunyai autonomi sendiri.

image is not available

Artikel lain: Kabinet baharu Sabah: BN dah kemuka nama calon menteri, timbalan menteri

Insiden 2023 yang dinyatakan merujuk cubaan BN mengetepikan GRS dan Hajiji, namun kerajaan tetap selamat selepas mendapat sokongan komponen GRS dan lima Adun BN yang enggan mengikut arahan Bung Moktar.

Sumber: Facebook Pemuda Gagasan Rakyat Sabah