Kerajaan Sabah terus perkasa akses pendidikan

13 Jun 2026 • 4:04 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Kerajaan Sabah terus perkasa akses pendidikan

PENAMPANG: Kerajaan Negeri terus komited memperluaskan akses kepada pendidikan menerusi pelbagai program bantuan dan sokongan bagi memastikan kekangan kewangan tidak menghalang anak-anak Sabah mencapai kecemerlangan akademik serta melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata komitmen itu dizahirkan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan yang terus memberi manfaat kepada pelajar di seluruh negeri.

Beliau berkata selain biasiswa dan geran pengajian, kerajaan negeri ketika ini menyediakan 14 inisiatif bantuan pendidikan bagi meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga mereka.

“Kerajaan Negeri kekal komited memperkukuh akses kepada pendidikan menerusi pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada pelajar.

“Antara inisiatif yang disediakan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi Secara Sekali Bayar (Budi), Program Bantuan Komputer (Baik), Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (Bakti), Bantuan Tambang Penerbangan Pelajar Sabah (Subfly) dan Skim Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Sabah (Sentosa),” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid (Makem) Sesi Akademik 2025 SMK Datuk Peter Mojuntin di dewan sekolah itu di sini, Jumaat.

Majlis berkenaan diadakan bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar dalam akademik di samping menghargai usaha berterusan guru dan ibu bapa dalam menyokong kejayaan mereka.

Mandela turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga SMK Datuk Peter Mojuntin atas pencapaian memberangsangkan sekolah itu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Beliau berkata seramai 73 pelajar memperoleh keputusan 5A dan ke atas, manakala 17 pelajar berjaya memperoleh semua A.

“Pencapaian ini mencerminkan dedikasi pelajar, komitmen guru serta sokongan tidak berbelah bahagi ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan pendidikan terus menjadi budaya di sekolah ini,” katanya.

Pada majlis itu, Mandela turut menyampaikan anugerah insentif pendidikan kepada pelajar cemerlang sebagai tanda penghargaan dan galakan untuk mereka terus berusaha mencapai kejayaan pada masa hadapan.

Menurut beliau, program insentif pendidikan yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya kekal sebagai antara inisiatif utama bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik pelajar di Penampang.

Katanya, selepas dilaksanakan di SMK Bahang dan SMK Datuk Peter Mojuntin, program itu akan diperluaskan ke SMK Limbanak dan SM St Michael dalam masa terdekat.