Tak mahu pelajar tercicir! Adam Adli perkasa akses maklumat pendidikan tinggi lepas SPM

13 Jun 2026 • 8:38 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kira-kira 1,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai Program Outreach Bersasar Projek Lepas SPM peringkat Parlimen Hang Tuah Jaya yang memberi fokus kepada peluasan akses maklumat pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peluang melanjutkan pengajian.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim berkata, bidang TVET kini diangkat sebagai laluan pilihan utama yang setanding dengan laluan akademik, selain memastikan tiada pelajar tercicir akibat kekangan maklumat atau akses pendidikan.

Image from: Tak mahu pelajar tercicir! Adam Adli perkasa akses maklumat pendidikan tinggi lepas SPM

“Inisiatif ini diadakan dalam menterjemahkan aspirasi pendidikan berteraskan agenda Malaysia MADANI, selain memperkukuh penyampaian maklumat pendidikan tinggi secara lebih dekat kepada pelajar di peringkat akar umbi.
“Pendidikan tinggi juga bukan sekadar laluan untuk memperoleh sijil atau persediaan alam pekerjaan semata-mata, sebaliknya merupakan ruang penting dalam membina insan berilmu, berfikiran kritis serta mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Image from: Tak mahu pelajar tercicir! Adam Adli perkasa akses maklumat pendidikan tinggi lepas SPM

Beliau berkata program itu turut menampilkan pendekatan interaktif yang lebih dekat dengan Generasi Z termasuk 20 reruai pameran agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menurutnya, peserta turut didedahkan dengan pengisian STEM seperti Robotic Dog, VR Edutainment dan DIY lilin kreatif, selain perkhidmatan komuniti seperti gunting rambut percuma oleh Kolej Komuniti.

Image from: Tak mahu pelajar tercicir! Adam Adli perkasa akses maklumat pendidikan tinggi lepas SPM

Penampilan ikon UPUOnline “Bang Jieb” dan Edufluencer Cikgu Zeti turut menceriakan program bagi memastikan penyampaian maklumat lebih santai dan berkesan.

“Program ini dijayakan melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kolej Komuniti Kota Melaka serta pihak pengurusan Sekolah Menengah Teknik Melaka sebagai tuan rumah.
“Program Outreach Bersasar Projek Lepas SPM ini akan diperluaskan ke sekolah lain di sekitar Parlimen Hang Tuah Jaya pada masa akan datang,” katanya.

Image from: Tak mahu pelajar tercicir! Adam Adli perkasa akses maklumat pendidikan tinggi lepas SPM

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan sedang melaksanakan agenda pendidikan percuma secara bersasar menerusi inisiatif Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAEK PTPTN) di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), yang menukar pinjaman pendidikan kepada biasiswa bagi 10,000 pelajar layak di seluruh negara.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan langkah keadilan sosial dalam mengurangkan beban kewangan pelajar serta merapatkan jurang sosioekonomi rakyat.

“Di Parlimen Hang Tuah Jaya sendiri, terdapat empat pelajar yang akan menerima manfaat ini. Insya-Allah, saya akan turun bertemu dengan mereka bagi menyampaikan sendiri khabar gembira tersebut,” katanya.