Kerajaan Salur RM1 Juta Ke Tabung Kasih@HAWANA Bela Kebajikan Pengamal Media

LocalPolitics
28 May 2023 • 4:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar oleh Amirul Fitri Hamizan

IPOH - Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA, demi membela kebajikan pengamal media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu ketika berucap pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 dan Pelancaran Tabung Kasih@HAWANA di sini, sebentar tadi.

“Bagi menjayakan Tabung Kasih @HAWANA ini untuk permulaan saya meluluskan RM1 juta,” katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Selain itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Duta Besar Indonesia di Malaysia, Hermono.

image is not available
Dari kiri Fahmi, Ahmad Zahid, Anwar, Saarani dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) Roslan Ariffin pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 dan Pelancaran Tabung Kasih@HAWANA. - Gambar oleh Azim Rahman

Manakala, Fahmi ketika menyentuh mengenai Tabung Kasih@HAWANA ketika berucapa pada majlis sama berkata, dana dikumpul itu juga akan disalurkan bagi menyantuni golongan berkenaan yang uzur dan berdepan kesukaran hidup.

Menurutnya, ia sebahagian usaha selaku menteri yang dipertanggungjawabkan berkaitan media untuk memastikan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) terus komited dalam menjaga kebajikan serta memperjuangkan nasib warga media di negara ini.

image is not available
Fahmi Fadzil - Gambar oleh Amirul Fitri Hamizan

Pada masa sama, beliau berikrar untuk mendekati semua syarikat dan pengamal media bagi mengetahui perkara yang boleh dilaksanakan KKD dalam usaha membantu menyelesaikan sebarang masalah dihadapi petugas dan bekas petugas media.

“Bagi tujuan tersebut, program tanggungjawab sosial (CSR) iaitu Tabung Kasih@HAWANA dilancarkan untuk menyantuni bekas pengamal media dan wartawan veteran yang uzur serta berdepan kesukaran hidup.

“Inisiatif ini yang diperkenal KKD melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) akan menjejaki rakan wartawan yang memerlukan bantuan sewajarnya,” katanya. - Getaran, 28 Mei 2023