
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.4 juta bagi membaiki saluran bekalan air di kawasan Sepanggar bulan lepas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, kerajaan Persekutuan juga memberi komitmen menambah peruntukan bagi tujuan itu jika diperlukan namun berharap koordinasi lebih baik dapat dibentuk dengan semua pihak untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah.
"Walaupun kita baiki saluran tetapi bekalan tidak cukup, mustahil pengguna akan perolehinya maka kerjasama itu kita selaraskan... kerajaan negeri juga telah diberi peruntukan (oleh) kerajaan Persekutuan untuk baiki dan tukar saluran paip itu, saya fikir koordinasi ini boleh dilakukan dengan baik,” kata Presiden UMNO itu pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Bahagian Sepanggar parti berkenaan pada Sabtu.
Mengenai penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di Sabah, Ahmad Zahid berkata, ia bertujuan sebagai pelengkap kepada jawatankuasa sedia ada seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.
"Kita tidak berniat pun untuk bersaing atau mencari jalan berbeda, kita mahu memperkukuh akar umbi agar rakyat yang terpinggir dapat kita santuni.
"Kita tubuhkan JKDM untuk memperkukuh kekuatan dukungan rakyat di sesebuah kampung,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

