
Nilai bantuan akan ditambah jika tidak mencukupi
Kerajaan Sarawak Akan Hulur Bantuan RM10 Juta Untuk Mangsa Banjir. Dilaporkan, dalam usaha membantu mereka yang terjejas, Kerajaan Sarawak telah menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM10 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS). Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata jika jumlah ini tidak mencukupi, kerajaan akan menambah mengikut keperluan negeri.
“RM10 juta telah kita keluar, kalau tidak cukup kita akan tambah mengikut kehendak seluruh Sarawak termasuk Limbang yang turut terjejas,” katanya selepas melawat mangsa banjir di PPS Dewan Suarah Bintulu.

Kuching, Serian, dan Gedong turut terjejas teruk
Selain Bintulu, beberapa kawasan lain seperti di Kuching, Serian, dan Gedong turut terjejas teruk akibat hujan lebat dan kenaikan paras air. Kerajaan kini sedang menilai bentuk bantuan yang boleh disalurkan agar semua mangsa mendapat pertolongan sewajarnya.
Bukan hanya kerajaan, sektor korporat juga tampil menghulurkan sumbangan:
- Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Bintulu menyumbang RM600,000
- Syarikat korporat di Miri pula menderma RM300,000 kepada JPBNS
Jumlah ini akan digunakan untuk pemulihan kawasan yang terjejas dan memastikan keperluan asas mangsa banjir terus dipenuhi.

Bantuan makanan dan infrastruktur jadi keutamaan
Menurut Abang Johari, antara perkara utama yang akan diberi perhatian adalah pemulihan jalan raya dan infrastruktur awam yang rosak akibat banjir.
“Bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga disediakan tetapi yang penting infrastruktur awam seperti jalan raya perlu dipulih semula supaya kampung-kampung dapat dilalui,” katanya.
Selain itu, bekalan air dan elektrik di beberapa kawasan yang terjejas juga sedang dipantau bagi mengurangkan risiko keselamatan kepada penduduk. Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, telah diberi tanggungjawab untuk memastikan pemulihan utiliti awam berjalan lancar.
Dalam keadaan banjir, risiko penyakit bawaan air meningkat. Oleh itu, Jabatan Kesihatan Negeri akan diperkasakan untuk memastikan kesihatan mangsa banjir terjaga.
Bukan itu sahaja, satu lagi cabaran besar yang dihadapi adalah tanah runtuh. Baru-baru ini, kejadian tanah runtuh di Miri membahayakan penduduk dan menambah lagi kesukaran yang dihadapi dalam usaha menyelamat dan pemulihan.

Menurut Abang Johari lagi, perubahan iklim global mungkin menjadi punca utama banjir kali ini. Data menunjukkan taburan hujan di Sarawak mencecah 900 milimeter dalam sehari, satu jumlah luar biasa yang bukan sahaja menjejaskan negeri ini tetapi juga beberapa negara lain seperti India, Pakistan, Vietnam, dan Amerika Syarikat.
Seperti yang berlaku di Kampung Tupong, Kuching, air yang naik menyebabkan buaya mula berkeliaran di kawasan rumah penduduk! Bukan sekadar berdepan dengan air, penduduk juga perlu berjaga-jaga dengan ancaman haiwan liar.
Semoga keadaan kembali pulih dan mangsa banjir dapat meneruskan kehidupan seperti biasa dalam masa terdekat! Bagi yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan kepada badan-badan kebajikan yang terlibat.
Lagi berita terkini untuk anda di sini:


